Kurangkan Perbezaan, Cuba Bersatu: Taha Jabir Al-Ulwani - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Kurangkan Perbezaan, Cuba Bersatu: Taha Jabir Al-Ulwani

KHAMIS, 2 April 2015 – Seramai lima orang ahli ABIM Mesir bersama Ustaz Dr. Ab. Halim el-Muhammady, Naib Presiden WADAH Pusat dan isteri telah mengunjungi Sheikh Taha Jabir al-Ulwani di kediaman beliau.

Dalam pertemuan bersama Sheikh Taha, beliau menasihatkan alam Melayu supaya bersatu supaya kita tidak kehilangan identiti kita, lebih-lebih lagi kita dikelilingi oleh negara-negara besar seperti Jepun, India, Thailand, Korea dan China.

Beliau juga mengingatkan kita supaya tidak jadi seperti negara Arab yang sudah hampir kehilangan identiti bangsa Arab yang gah disebabkan perpecahan yang berpunca daripada masing-masing yang ingin mempertahankan identiti sendiri.

Beliau menyarankan agar kita membina dan memperkukuh kesatuan dan identiti bangsa alam Melayu melalui agama, budaya, bahasa dan pelbagai lagi.

Antara nasihat beliau kepada generasi muda ialah supaya jangan mudah terikut-ikut dengan manhaj orang lain, perlu bina manhaj sendiri yang sesuai dengan negara kita dan cipta ulama sendiri untuk umat. Beliau juga menegaskan supaya tidak membiarkan anasir luar mencampuri urusan negara dan agama.

Beliau berkata lagi apabila ditanya tentang pandangan berkenaan Muslim yang hampir kehilangan kepercayaan kepada ulama kerana dikatakan ulama kerajaan dan sebagainya, beliau menjawab, jangan sibukkan diri kita pada hal yang kecil seperti itu, lebih banyak hal besar yang kita perlu ambil cakna.

Sebab itulah agama Islam itu perlu bersatu. Sekarang Sheikh Taha sedang mengemaskini kitab beliau ‘Adab fil Ikhtilaf’. Sheikh memberi sedikit ulasan berkenaan kitab tersebut, beliau berkata bahawa sekarang bukan zaman perlu beradab dalam ikhtilaf, tetapi kurangkan ikhtilaf dan cuba bersatu. Ikhtilaf ini hanya pada zaman ulama-ulama dahulu.

Sekarang lebih baik kita menuju ke arah penyatuan agama. Sama-samalah kita doakan semoga Sheikh Taha sihat walafiat dan sentiasa dirahmati Allah S.W.T.