
23 September 2016:- Pada petang Jumaat yang mulia ini, 23 September 2016 bersamaan 21 Zulhijjah 1437 H, Dr Zulkifli Al-Bakri, selaku Mufti Wilayah Persekutuan, telah meraikan pemimpin-pemimpin badan agama utama di negara. suatu liqa mahabbah bersama rakan-rakan Friendship Group for Inter-religious Service (FGIS) telah diadakan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Turut menyertai pertemuan ini; Presiden ABIM, Mohammad Raimi Ab Rahim, Naib Presiden; Ahmad Fahmi Shamsuddin, serta Exco Penerangan; Adli Zakuan Zaira. ABIM adalah satu badan gabungan yang aktif menjayakan setiap aktiviti yang digerakkan FGIS.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk mengadakan perbincangan dan memperihalkan bentuk-bentuk serta nilai-nilai agama masing-masing secara ringkas, dan mencapai perpaduan serta keharmonian dalam melayari kehidupan sebagai masyarakat majmuk di Malaysia ini.
Kami mengambil pendekatan yang selari dengan Manhaj al-Azhar dalam mempraktikkan Fiqh al-Ta`ayusy berkaitan hubungan antara agama yang antara lain menekankan soal kebebasan agama dan tiada paksaan.
Ini selari dengan nas ilahi:
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Maksudnya: “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam ugama.”
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa mengalu-alukan kehadiran wakil agama-agama di Malaysia bagi kunjungan mahabbah dan perbincangan untuk bagaimana kita selaku rakyat Malaysia mampu menambahbaik sikap toleransi dan keharmonian antara agama.
Sekalung terima kasih atas kunjungan kepada tetamu-tetamu yang hadir.
