
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
26 Jun 2025 / 29 Zulhijjah 1446H
ABIM MERAKAMKAN TAKZIAH ATAS PEMERGIAN PROF. DATO’ DR. MUHAMMAD NUR MANUTY
Seluruh warga Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berdukacita terhadap kembalinya ke rahmatullah Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty pada 26 Jun 2025 bersamaan 29 Zulhijjah 1446H di Hospital Serdang.

Mesra disapa sebagai Ustaz Muhammad Nur Manuty, beliau merupakan seorang tokoh dakwah, sarjana Islam, dan pemikir ummah yang telah mewakafkan hampir seluruh hidupnya dalam perjuangan mendidik umat, menyebarkan ilmu, serta memperjuangkan nilai keadilan sejagat.

Pembabitannya dalam lapangan dakwah dan gerakan Islam bermula seawal zaman mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), apabila beliau diamanahkan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada awal 1970-an. Kepemimpinannya terus bersinar apabila beliau dilantik sebagai Presiden ABIM dari tahun 1991 hingga 1997.

Ketika menjawat jawatan tersebut, Almarhum telah mengemudi ABIM dalam fasa penting transisi, memperkukuh peranan ABIM sebagai rakan dalam pembinaan negara, di samping membawa suara ABIM ke pentas antarabangsa — termasuk membela isu-isu umat Islam seperti di Bosnia dan Afghanistan.
Di bawah pimpinannya, ABIM memperkukuh pendekatan dakwah bil hikmah, membina jaringan diplomasi masyarakat madani serta memperluas kerjasama antara agama dan budaya – selaras dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam.
Sepanjang hayatnya, Almarhum terus istiqamah memperjuangkan agenda ilmu dan pemikiran Islam – sebagai pensyarah, penulis, dan tokoh intelektual. Beliau berkhidmat di UKM, UIAM, KUIS, UNISEL dan pelbagai institusi dalam dan luar negara; termasuk sebagai Felo Akademik di United Kingdom dan perunding kepada pertubuhan Islam di Asia Tenggara.

Beliau juga merupakan antara sarjana Muslim Malaysia yang dikenali di peringkat antarabangsa, aktif membentangkan pemikiran Islam dalam pelbagai persidangan global, termasuk Parliament of World Religions, Sidang IPU di Geneva & Dhaka, dan Konferensi al-Nursi di Turki.
Sehingga ke akhir hayat, walaupun diuji dengan keadaan kesihatan yang mencabar, Almarhum tetap sedaya upaya menyempurnakan amanahnya sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Beliau komited memastikan IKIM berperanan sebagai badan rujukan utama dalam dakwah, pemikiran dan kefahaman Islam, selari dengan keperluan zaman.
Sebagai penulis dan pengkarya, beliau meninggalkan warisan berharga dalam bentuk karya seperti Islam & Demokrasi, Polemik Kalimah Allah, Islam, Politik dan Kesederhanaan, serta karya memoarnya yang penuh makna, Jejak-Jejak Pencerahan Umat.
Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat ABIM, PKPIM, WADAH serta seluruh umat Islam di tanah air. Dalam era krisis adab dan kekeliruan fikrah, Almarhum tampil sebagai penyuluh jalan – menggabungkan ilmu, akhlak dan perjuangan dalam satu kesatuan yang tuntas dan mencerahkan.
Beliau dikenang sebagai murabbi umat yang sejati – yang teguh pada prinsip, tenang dalam tindakan, penuh hikmah dalam menyantuni perbezaan, dan bijaksana dalam memandu generasi.
Bagi segala jasa dan baktinya yang tidak ternilai itu, marilah kita semua menghadiahkan al-Fatihah, serta memanjatkan doa agar Allah SWT mengampuni segala dosa-dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya, dan menempatkannya dalam kalangan para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin.
إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
