Mujahadah Guru Tunjang Pembangunan Karakter Al Hikmah, Sekolah SEJAHTERA

May 16, 2022
editor@abim

Mujahadah Guru Tunjang Pembangunan Karakter Al Hikmah, Sekolah SEJAHTERA

1. Hari Guru hadir lagi pada tahun ini pada 16 Mei 2022. Hari nya jatuh pada Isnin, lebih kurang dua minggu selepas kita meraikan Eidul Fitri. Pada kesempatan ini, sekali lagi saya mengucapkan selamat hari raya, minal aidil Wal faizin, Taqabbalallahu minna wa minkum. Semoga Allah menerima amalan kita semua sepanjang Ramadan.

2. Signifikannya Syawal dan perkaitannya dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini memberikan makna bahawa Ramadan itu sendiri ialah bulan pendidikan dengan sistem pendidikannya ditetapkan oleh Allah. Uniknya, kita menempuh sistem pendidikan Ramadan dengan disiplin dalaman dan mujahadah. Kualiti ibadah puasa adalah urusan antara kita dengan Tuhan sahaja.

3. Apabila hadir Syawal, kita raikan dengan gembira dan jauh dalam hati mengharapkan agar kita bergraduasi dengan ijazah Taqwa. Akhirnya, ijazah ini kita gunakan dalam kehidupan kita bagi terus memberikan khidmat bakti kepada umat untuk setahun seterusnya.

4. Sebagai seorang guru, kita insafi tugas kita adalah pendidik. Hakikatnya, model pendidikan yang kita sendiri tempuhi dalam Ramadan perlu kita hayati dan duplikasi dalam kehidupan keguruan kita.

5. Maksud saya, jika matlamat madrasah Ramadan ialah kepada Taqwa, maka matlamat persekolahan Pendidikan ABIM ialah kepada karakter ummatik yang akhirnya menyumbang bakti kepada umat. Kita namakan sistem pendidikan ini sebagai Sistem pendidikan Al Hikmah.

6. Maka, 9 karakter Al Hikmah telah dikenal pasti untuk kita amalkan dan budayakan dalam diri anak-anak murid yang akhirnya memaknakan kemenjadian murid yang kita harapkan.

7. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’. 14 nilai diperincikan membentuk akronim SEJAHTERA. Secara tersurat, terdapat beza daripada istilah yang digunakan untuk memaknakan kemenjadian murid. Namun kedua-duanya, 14 nilai SEJAHTERA dan 9 karakter pendidikan Al Hikmah membawa hasrat kepada pembentukan sahsiah, adab atau akhlak.

8. Hal ini amat sesuai dengan hadis, “Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Al-Baihaqi dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu). Di samping itu, satu lagi hadis, أنَّ اللَّهَ لَمْ يَبْعَثْنِي مُعَنِّتًا وَلَا مُتَعَنِّتًا وَلَكِنْ بَعَثَنِي مُعَلِّمًا مُيَسِّرًا“Allah tidak mengutusku sebagai orang yang kaku dan keras akan tetapi mengutusku sebagai seorang pendidik dan mempermudah” (HR. Muslim No 2703)

9. Justeru, saya amat yakin dan percaya bahawa guru merupakan elemen terpenting dalam menentukan kemenjadian murid, waima bagaimanapun sistem kurikulumnya dan pentaksirannya.

10. Justeru, guru perlu punyai karamah dan maruah sebagai guru yang perlu dipertahankan. Menjadi guru dewasa ini amat berbeza dan kompleks berbanding puluhan tahun lalu.

11. Malah, kita sendiri masih mendengar perbahasan berpanjangan tentang beban tugas guru, kualiti prasarana di bilik guru, kandungan kurikulum yang berat untuk guru sendiri kuasai dan terangkan kepada anak-anak murid dalam masa terhad, beban tekanan tinggi daripada ibu bapa yang semakin cakna dengan pembelajaran anak-anak, cabaran pendidikan digital, cabaran kehendak pentadbir sekolah dan jangkaan pihak atasan dan lain-lain cabaran semasa dan masa hadapan. Banyak sekali cabaran itu semakin menebal dari tahun ke tahun.

12. Jelaslah bahawa tunjang kemenjadian murid dan keberhasilan sistem pendidikan itu sendiri bergantung kepada mujahadah seorang guru, dan jika dipanjangkan, mujahadah sepasukan guru sekolah, dan seterusnya mujahadah sistem pendidikan Al Hikmah. Semangat mujahadah Ramadan itulah kita teruskan dalam amalan keguruan sepanjang hayat kita menjadi guru, baik sebagai guru di bilik darjah, sebagai pentadbir operasi, dan sebagai pengurus dasar pendidikan.

Semoga Allah menerima amalan kita semua.

13. Maka, bersempena Hari Guru pada tahun ini, izinkan saya mewakili seluruh jemaah WADAH-ABIM-PKPIM mengucapkan, terima kasih cikgu atas segala jasa bakti yang dicurahkan.

14. Sebagai institusi pendidikan jemaah yang asasnya ialah gerakan Islam yang tema terasnya adalah Gerakan Ilmu dan Bakti, sudah tentu kita mempunyai amanah dan tanggungjawab untuk terus melakukan penambahbaikan dari masa ke masa. Jangan pernah lupa tugas kita adalah untuk terus islah, melakukan pembaikan, kaizen dan menawarkan model pendidikan alternatif terbaik kepada umat.

15. Insha Allah, Yayasan Takmir Pendidikan juga akan dan sedang pun melalui proses islah dan pembaikan bagi memastikan hasrat jemaah terus subur dalam menjayakan matlamat ini.

16. Kita sama-sama doakan semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Allah dengan semangat mujahadah yang berpanjangan.

17. Akhir kata, terima kasih juga kepada para guru kita yang telah mendahului kita di alam abadi, yang mana kita juga bakal mengikuti apabila tiba masa yang telah ditentukanNya.

18. Namun, selagi nyawa dikandung badan, ayuh kita terus berusaha dengan sedaya upaya kita (islah mas tata’tu) bermujahadah membina generasi masa hadapan menerusi jalan pendidikan.

Kepada Allah kita berserah. Terima kasih cikgu!

Dr. Radin Muhd Imaduddin bin Radin Abdul Halim (Pengerusi Yayasan Takmir Pendidikan), 16 Mei 2022.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR