Kenyataan Media Bersama – Friendship Group Of Inter-Religious Services (FGIS)
15 Julai 2022
NGO PELBAGAI AGAMA GESA HENTI JADIKAN ISU SENSITIF KHUSUSNYA AGAMA SEBAGAI BAHAN JENAKA
Friendship Group of Inter-Religious Services (FGIS) merujuk kepada isu melibatkan tindakan menjadikan agama sebagai bahan jenaka yang tular baru-baru ini. FGIS menegaskan tindakan sebegini boleh menyemarakkan ketegangan antara masyarakat khususnya apabila ia menyentuh sensitiviti agama rakyat negara ini.
Justeru, FGIS menggesa agar pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan tindakan menjadikan isu sensitif seperti agama sebagai bahan jenaka.
Dengan itu FGIS menggesa seluruh rakyat untuk berpegang kepada kerukunan hidup yang harmoni dengan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Menyesali situasi panas yang berlaku hari ini, FGIS yakin isu ini dapat diselesaikan sekiranya pihak berkenaan menyedari tanggungjawab masing-masing untuk menjaga tatasusila dan prinsip hidup secara damai dengan menjaga sensitiviti dan perasaan semua penganut agama di Malaysia.
Sementara itu, pihak FGIS juga mengharapkan supaya isu yang semakin marak ini dapat diredakan tanpa wujudnya situasi yang lebih parah susulan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa atas lunas undang-undang.
Dalam masa sama, FGIS juga berpendirian tindakan sebegini harus dibendung segera dan diharapkan supaya perkara sebegini tidak kembali berulang.
FGIS akan terus menyokong usaha semua pihak yang mahu membina dan mengukuhkan pertalian persahabatan antara kaum dan agama sebagai medium untuk kita saling memahami antara satu sama lain serta menyemai perpaduan kaum ke arah mewujudkan Bangsa Malaysia berasaskan tunjang Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara.
Organisasi yang menyokong:
1) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
2) Buddhist Missionary Society Malaysia (BMSM)
3) Malaysia Hindu Sangam
4) Council of Churches of Malaysia
5) Buddhist Maha Vihara
6) Gerakan Belia Sikh Malaysia (GBSM)
7) Sathya Sai Baba International Organization Malaysia