P. Ramlee & Za’ba: Saat Seniman Bertemu Pendeta

December 3, 2021
editor@abim

P. Ramlee & Za’ba: Saat Seniman Bertemu Pendeta

Apabila dua legenda bertemu… Pendeta Za’ba mengucapkan tahniah kepada P. Ramlee di atas kejayaan filem Pendekar Bujang Lapok yang memenangi Anugerah Filem Komedi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-6 (Mei 1959) di Kuala Lumpur.

Beliau menyampaikan anugerah kepujian kepada P. Ramlee yang membawa gelaran ‘Seniman Agung’ kepada P. Ramlee.

P. Ramlee dan Pendeta Za’ba, yang masing-masing ialah tokoh seniman, budayawan dan ahli bahasa Melayu terulung…


“Sebuah sampan hilang – 100 ringgit, dua buah sampan hanyut – 200 ringgit, duit sewa sampan – 300 ringgit, beli ubat-ubat orang pengsan – $50.50 sen, beli ubat 8 orang bengkak-bengkak – $73.21 sen, jumlah semua – $724.71 sen, diminta bayar sekarang jugak!”

Apa yang menarik tentang filem Pendekar Bujang Lapok adalah bagaimana P. Ramlee dan S. Sudarmadji menjadikan Raja Kerajaan Kolana, di Nusa Tenggara, Indonesia (antaranya rujukan gambar bersama pengikutnya pada tahun 1926), sebagai inspirasi untuk watak tauke sampan dan kepala samseng.

Antara bukti seniman kita luas pembacaannya…

Almarhum Ahmad Nisfu (Mohamed bin Nisfu) merupakan antara seniman yang paling digemari dan dihormati oleh P. Ramlee, dan dipanggil dengan gelaran ‘Pak Besar’ merujuk lubang hidungnya yang besar. Hubungan Ahmad Nisfu dan P. Ramlee sangat erat, umpama anak dengan bapanya.

Bilal di Masjid Khalid, Joo Chiat Road, Singapura ini juga mempunyai pengalaman yang sangat besar sebagai penggiat seni bangsawan, kerana itu lakonannya (khususnya di bawah pengarahan P. Ramlee) sangat meninggalkan kesan.


Mengenang P. Ramlee

Tarikh 22hb Mac merupakan tanggal kelahiran tokoh seniman besar tanah air, Almarhum Tan Sri P. Ramlee (Almarhum Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh). Filem pertama lakonan beliau ialah “Chinta” (1948) arahan B.S. Rajhans, manakala naskah sulung arahan beliau ialah “Penarek Becha” (1955).

Antara anugerah yang dimenangi sewaktu hayatnya termasuklah Anugerah Pencipta Lagu Terbaik menerusi filem “Hang Tuah” (1956) dalam Festa Filem Asia ke-3 di Hong Kong; Pelakon Lelaki Terbaik Asia menerusi filem “Anakku Sazali” (1956) dalam Pesta Filem Asia ke-4 di Tokyo; Anugerah Filem Komedi Terbaik Asia menerusi “Pendekar Bujang Lapok” (1959) di Pesta Filem Asia ke-6 di Kuala Lumpur; serta The Most Versatile Talent menerusi filem “Ibu Mertuaku” (1962) dalam Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo.

Almarhum Tan Sri P. Ramlee yang lahir pada tahun 1929 menghembuskan nafas terakhirnya pada 29hb Mei 1973.


Za’ba: Pendita Wira Bangsa

Za’ba (Almarhum Tan Sri Dr. Hj. Zainal Abidin bin Ahmad) lahir pada 16hb September 1895. Pada 1947, beliau dihantar ke London sebagai pensyarah bahasa Melayu di Pusat Pengajian Bahasa Timur dan Afrika. Za’ba selaku orang yang gigih mencari ilmu ketika di London, belajar dan mendalami bahasa Arab, Belanda dan Sejarah. Beliau mengambil peperiksaan akhir dalam ilmu ini selepas kembali ke tanah air pada 1950.

Za’ba dilantik menjadi pensyarah kanan di Jabatan Universiti Malaya di Singapura pada November 1952 (sebelum mendapat Ijazah dari Universiti London). Atas usahanya dalam bahasa dan persuratan, Za’ba digelar Raja Bahasa Melayu Moden. dalam Kongres Bahasa Persuratan Melayu Ketiga pada 1956 di Johor Bahru, beliau diberi gelaran ‘Pendeta’ dan kemudiannya Doktor Kehormat dianugerahkan oleh Universiti Malaya.

Za’ba sangat merendah diri dan tidak mahu gelaran seperti ini tetapi masyarakat Melayu mengiktiraf seorang sarjana yang wujud dalam kalangan mereka.

Pada 1962, menerima Anugerah Panglima Mangku Negara membawa gelaran Tan Sri. Pendeta Za’ba cukup dikenali sebagai seorang sasterawan, ahli bahasa, ahli falsafah, tokoh politik dan pemikir ekonomi yang banyak memberi sumbangan besar kepada kemajuan bangsa dan negara.

Bahkan, beliau tidak lelah menyuntik semangat juang anak bangsa ketika memperjuangkan kemerdekaan negara dan banyak hasil penulisannya masih kekal segar sehingga kini. Pendeta Za’ba pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor dan bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya, kemudian lahirnya Umno.

Pendeta Za’ba meninggal dunia ketika berusia 78 tahun pada 23hb Oktober 1973.


Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati kedua-dua tokoh hebat Nusantara ini, dan menempatkan mereka di sisi-Nya Yang Maha Pengasih. Jasa dan pengorbanan mereka akan terus subur dan dikenang ramai. InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.

#AlFatihah

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR