Pakar Usuluddin, pemikiran Islam Prof. Dr. Mohamad Kamil meninggal dunia

July 21, 2022
editor@abim

UCAPAN TAKZIAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan takziah di atas kepulangan ke Rahmatullah Almarhum Prof. Ustaz Dr. Mohamad Kamil Ab Majid pada 20hb Julai 2022 (Rabu).

Dalam dunia NGO Dakwah beliau adalah Ketua Penerangan ABIM Pusat pada tahun 1987-1989.

Almarhum merupakan mantan Presiden Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK – sekarang PKPIM Kelantan) tahun 70-an serta mantan Yang DiPertua ABIM Wilayah Persekutuan, turut aktif berpartisipasi sebagai panel dan pembicara dalam program-program WADAH-ABIM-PKPIM, fizikal mahupun dalam talian. Antaranya Seminar Pemikiran Tajdid Dr. Muhammad Imarah, Siri Wacana Pemikiran Islam Kontemporari, Siri Dialog Dakwah, Siri Fiqh al-Waqi’ dan banyak lagi.

Beliau merupakan adik kepada Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi. Kedua-duanya antara ilmuwan terkenal negara dalam bidang pengajian Islam. Mereka punya aura dan kepakaran masing-masing, serta mempunyai ramai anak murid di seluruh negara. 

Dr Kamil juga seorang Tokoh Akademik dan Pengasas Yayasan Usuluddin Malaysia telah bersara sebagai Profesor Madya dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Malaya. Beliau dilahirkan pada tahun 1950 di Kg Kayu Rindang, Melor Kota Bharu, Kelantan.

Mendapat lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang daripada Yayasan Pengajian Tiinggi Islam Kelanta (YPTIK) dan Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Al Azhar, Kaherah Mesir. Kesarjanaannya dalam bidang falsafah dan Teologi Jabatan Pengajian Islam UM dan bidang Pemikiran Islam (Kerohanian) bagi ijazah Doktor falsafah, di Universiti Malaya.

Dalam pentadbiran akademik, pernah memegang jawatan Timbalan Dekan (Usuluddin), Ketua Jabatan (Dakwah dan Pembangunan Insan) dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar di Akademi Pengajian Islam). Membantang kertas-kertas kerja di dalam dan luar negara.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya SS 15 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22. Pergi lagi seorang ilmuwan yang amat dikasihi dan berjasa. Semoga Syurga buat Almarhum atas penat lelah atas mendidik anak bangsa sepanjang hayatnya.

Kita doakan keampunan dan kesejahteraan buat Almarhum. Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala menempatkannya di sisi-Nya Yang Maha Pengasih. Takziah buat seluruh ahli keluarganya. Innalillahi wainna ilayhi rajiun. Kita sedekahkan al-Fatihah sekudusnya.

#AlFatihah

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR