Polemik Gadis Bertudung Dipeluk Artis K-POP - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Polemik Gadis Bertudung Dipeluk Artis K-POP

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abd Manan melihat isu konsert K-Pop dari segi moral dan budaya masyarakat Malaysia. Beliau berpandangan bahawa aksi sumbangan tersebut tidak wajar berlaku sama ada umat Islam atau mereka dari agama atau bangsa lain. “

Ia bukan disebabkan agama semata-mata, cuma secara kebetulan kejadian itu melibatkan wanita bertudung yang mencerminkan imej wanita Islam. “Saya percaya semua budaya, bangsa dan agama tidak menerima perbuatan berkucupan dan berpelukan apatah lagi ia dilakukan di khayalak ramai,” katanya.

Mengenai garis panduan yang dikeluarkan Puspal, Amidi menyarankan supaya ia ditambah baik supaya pihak penganjur mahupun artis yang terlibat dapat menghormati sensitiviti dan memahami budaya masyarakat Malaysia.

Tambahnya, walaupun mungkin sudah dinyatakan dalam garis panduan tersebut, ia boleh diperkemaskan dengan memberi contoh dan penjelasan yang lebih terperinci.

“Sebagai contoh, kadang-kadang masyarakat luar tidak boleh nak faham tentang penerangan kita yang terlalu umum .

“Mungkin juga ada menganggap aksi berkucupan atau berpelukan bukan satu masalah kerana ia menjadi kebiasaan dalam masyarakat mereka.

“Lebih baik kita jelaskan dengan cara yang lebih mudah difahami, contohnya jangan mengucup atau memeluk orang,” katanya.

Beliau menambah, diharapkan cadangan tersebut dapat dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia pelbagai bangsa dan agama meskipun di dalam sesebuah acara berbentuk hiburan. Sumber: Mstar Online