ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk isu yang mendakwa pembelajaran Jawi diajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSR (Semakan 2017) Tahun 4, antara kemahiran bahasa yang perlu dipelajari murid pada tahap II adalah daripada aspek bahasa, yang merujuk kepada keindahan, kehalusan dan kebahasaan dalam Bahasa Melayu.
Murid diperkenalkan dengan penulisan seni khat sebagai pendedahan asas melalui pembelajaran simpulan bahasa. ‘Khat’ merupakan suatu seni tulisan tangan yang menggunakan alat tulis khas. Seni penulisan khat juga boleh dianggap sebagai seni penulisan tangan yang indah, atau kaligrafi.
Murid hanya akan mempelajari untuk mengenalpasti dan menyebut huruf tunggal yang ditulis mengikut seni khat dalam simpulan bahasa seterusnya mempersembahkannya dalam bentuk tulisan. Seni penulisan khat adalah merupakan suatu disiplin ilmu yang berbeza dengan disiplin pembelajaran jawi.
Daripada aspek pengajaran, murid hanya perlu tekap, tiru dan tulis simpulan bahasa yang disediakan secara pendekatan didik hibur. Nilai kesabaran dan ketelitian juga dapat dipupuk melalui pembelajaran ini. Standard Kandungan ini juga dimaklumkan tidak diuji dalam Peperiksaan. ABIM berpandangan bahawa kemahiran penulisan jawi perlu diangkat sebagai kemahiran penting daripada legasi warisan bangsa sejak berzaman, memandangkam ia telah digunakan sejak 700 tahun yang lalu.
ABIM menegaskan bahawa keunikan Bahasa Melayu juga disebabkan penulisannya boleh ditulis dalam huruf rumi dan huruf jawi. Justeru keindahan bahasanya boleh dilakarkan sama ada melalui seni penulisan berangkai mahupun penulisan khat. Pada waktu ini, tulisan Jawi hanya diajarkan dalam Pendidikan Islam, justeru dilihat hanya eksklusif kepada orang beragama Islam dan penggunaannya juga seolah-olah terhad dalam ruang lingkup pendidikan Islam sahaja.
Justeru, ABIM bersetuju dengan langkah kecil usaha menerapkan nilai-nilai warisan Bahasa Melayu serta identiti nasional yang telah lama ditinggalkan sebelum ini. Selain itu, fungsi dan peranan sedia ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan warisan penulisan jawi perlu diperkasakan lagi dengan lebih agresif agar tulisan jawi menjadi lebih signifikan dalam kehidupan masyarakat pada semua peringkat.
Usaha ini memerlukan kesungguhan berterusan kerajaan khususnya, serta semua pihak secara amnya, kerana apa yang diterapkan bukannya untuk memaksa pelajar memeluk Islam, sebaliknya mempelajari akar bahasa kebangsaan serta jati diri tanah air yang kita semua cintai.
*Mohd Raimi Ab Rahim ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)