Polemik Rampasan Bible Oleh JAIS:- KDN Tak Perlu Campur Tangan - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Polemik Rampasan Bible Oleh JAIS:- KDN Tak Perlu Campur Tangan

Shah Alam-Tiada keperluan bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk campur tangan dalam isu rampasan Bible yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini. Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan berkata, perkara itu sebaiknya diselesaikan di peringkat JAIS terlebih dahulu, memandangkan ianya masih disiasat di bawah undang-undang kerajaan negeri.

Menurutnya lagi, masyarakat seharusnya memberikan ruang kepada JAIS menyiasat perkara tersebut dan menguatkuasakan enakmen yang sedia ada bagi menangani isu tersebut. “Kita akui isu agama merupakan satu perkara yang sensitif dan ini masa yang sesuai untuk kita melihat ianya ditangani oleh JAIS secara rasional,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan kewajaran mengadakan rundingan secara tertutup oleh pihak terbabit dalam menangani masalah tersebut, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan segalanya kepada kebijaksanaan penguatkuasa.

“Penguatkuasa perlu main peranan dalam hal ini dan kita sebagai rakyat mengharapkan perkara tersebut diselesaikan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,”katanya. (Akhbar Sinar Harian, 9 Januari 2013).