POLEMIK SPRM – TIBA MASA PM TUNAIKAN TRANSFORMASI DALAM URUS TADBIR KERAJAAN

January 8, 2022
editor@abim

Kenyataan Media
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
8 Januari 2021 / 5 Jamadil Akhir 1443 H

POLEMIK SPRM – TIBA MASA PM TUNAIKAN TRANSFORMASI DALAM URUS TADBIR KERAJAAN

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat isu yang menjejaskan reputasi institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semenjak kebelakangan ini.

ABIM menegaskan isu terbaru ini akan menghakis lagi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan termasuk institusi yang diamanahkan untuk mempertahan maruah serta tatakelola yang baik dalam pentadbiran persekutuan.

ABIM menilai krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat semakin menebal kerana ia memberi kesan secara tidak langsung dalam kehidupan mereka.

Justeru, ABIM menggesa kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk segera menunaikan transformasi yang termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MOU) bersama pihak Pakatan Harapan untuk melakukan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran.

Transformasi ini secara khususnya merujuk kepada memperkasa institusi Parlimen seperti mana disebut dalam Perkara IV MOU tersebut.

Pembaharuan segera ini perlu dibuat dengan segera meletakkan SPRM khususnya sebagai sebuah institusi bebas yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen bagi memastikan badan tersebut bebas dari campur tangan Eksekutif. Ini termasuklah dengan meletakkan kuasa penuh kepada institusi Parlimen secara konsensus untuk melantik Ketua Pengarah SPRM serta barisan Pesuruhjaya yang bertanggungjawab ke atas semua bidang tugas badan terbabit.

ABIM khuatir sekiranya perubahan ini tidak dilakukan, situasi buruk yang berlaku hari ini akan terus berulang pada masa akan datang.

Untuk menyelamatkan negara ini daripada terjerumus ke dalam kemelut yang lebih buruk, kehendak politik untuk melakukan perubahan perlu ada untuk merealisasikannya.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

#RasuahBusters #MalaysiaTanpaRasuah #ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR