Presiden ABIM Pertama, Ustaz Razali Nawawi Pulang Bertemu Penciptanya

May 18, 2023
Admin Abim

UCAPAN TAKZIAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan rasa sedih dan ucapan takziah di atas pemergian ke Rahmatullah – Murabbi unggul dan Presiden ABIM yang pertama, Syeikh Dr. Razali Nawawi pada 18hb Mei 2023 (Khamis). 

Beliau sangat dihormati sebagai seorang tokoh dakwah, tokoh ilmuwan dan tokoh masyarakat yang disegani walaupun pada zahirnya beliau cukup merendahkan dirinya.

Boleh dikatakan, beliau antara generasi awal anak-anak Melayu yang mendapat pendedahan awal pengajian di luar negara dan lebih istimewa beliau mendapat peluang melanjutkan pengajian di Timur Tengah dan Eropah.

Di UKM, beliau pernah menyandang jawatan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM dari tahun 1972 hingga 1976. Almarhum Dr. Razali Nawawi kemudiannya berpindah sebagai profesor di Fakulti Undang- undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula 1 September 1983 hingga 31 Disember 2008.

Di UIAM beliau merupakan dekan pertama Fakulti Undang- undang, UIAM (kini dikenali sebagai Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM – AIKOL IIUM) dari tahun 1983 sehingga 1990.

Semasa di London, beliau mengasaskan pertubuhan Malaysian Islamic Study Group of United Kingdom (MISG-UK) bersama Almarhum Ustaz Dahlan Arshad dan lain-lain. Almarhum juga merupakan Khatib Pertama Solat Jumaat di Malaysia Hall, London.

Selepas pulang ke Tanah Air, bermula tahun 1972 hingga 1974, beliau dilantik sebagai Presiden pertama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), juga mengasaskan sistem usrah pertama di negara kita. Almarhum juga memperkenal dan mempopularkan zikr al-Ma’thurat bersama ABIM sehingga menjadi amalan masyarakat terbanyak.

Beliau terus giat dalam mendedikasikan kehidupannya untuk kegiatan tarbiah, keilmuan, dakwah dan kemasyarakatan, sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sebagai sebahagian daripada kegiatan dakwah, keilmuan dan kemasyarakatannya, beliau juga menulis kertas kajian akademik dan buku-buku ilmiah, antaranya Critique of Christian Theology By Imam Al-Ghazali (ABIM, 1981), Ciri-ciri Syariah (ABIM, 1981), The Machinery of Islamic Justice in the Kingdom of Saudi Arabia and Malaysia (IIUM, 1990), “Hak-hak Wanita dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor” (DBP, 1998), Islamic Law on Commercial Transaction, (Cert, 2009), Erti Perjuangan (WADAH, 2020), Erti Kehidupan (WADAH, 2021), dan lain-lain.

Allahummaghfirla-hu warham-hu wa ‘afi-hi wa’ fuan-hu. Sesungguhnya, kita milik Allah Subhanahu wa-Ta’ala selama-lamanya.

Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkannya di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.

InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.

#AlFatihah

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR