Presiden ABIM Tampil Dalam Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin Di Shah Alam

May 30, 2023
Admin Abim

PRESIDEN ABIM TAMPIL DALAM SEMINAR PENGHAYATAN IHYA’ ULUMUDDIN DI SHAH ALAM

22hb Mei 2023 (Isnin): Alhamdulillah, Presiden ABIM, Sdra. Muhammad Faisal Abdul Aziz tampil dalam Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin dan Projek Penterjemahan Ihya’ Ulumuddin. Beliau hadir bersama ulama’ Indonesia, Prof Dr K.H Said Aqil Siradj serta Sahibus Samahah Dato’ Dr Hj Anhar Hj Opir (Mufti Negeri Selangor) sebagai pengulas.

Majlis dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Program berlangsung lancar, di samping banyak kupasan karya Imam Al-Ghazali yang bermanfaat dan sangat berharga untuk dijadikan pedoman. Maka bermulalah usaha untuk menterjemah karya agung Imam Al Ghazali bagi tatapan rakyat Malaysia ini. Semoga usaha ini diberkati dan dipermudahkan untuk manfaat ummah.

Seminar yang dianjurkan sempena Festival Turath Islami Selangor itu turut menampilkan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty (Presiden ABIM ke-3); Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar (Mantan Setiausaha Agung ABIM serta kini Penyandang Kursi al-Ghazali di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam – ISTAC); Mufti Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr Anhar Opir; Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah; Al-Imam al-Allamah Prof. Dr. Ali Juma’ah (Mantan Mufti Agung Mesir) serta tokoh ulama Patani, Thailand Baba Haji Ghazali Ahmad Fathoni.

Festival Turath Islami Selangor diadakan pada 20 hingga 25hb Mei 2023 bersempena projek terjemahan 10 jilid kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali oleh Kerajaan Selangor.

Ustaz Dr Muhammad Nur dalam ucapannya menyebut bahawa Malaysia antara negara yang mengamalkan fiqh al ta’ayush al silmi (kehidupan bersama dalam kedamaian) seperti yang dibicarakan dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali. Beliau berkata umat Islam di negara ini memiliki tatasusila mulia seperti menghormati hak kejiranan, tolong-menolong serta mencintai keamanan.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, pandangan Imam al-Ghazali yang membicarakan tentang hak orang bukan Islam adalah beriringan dengan penjelasan al-Quran, sunnah serta sejarah Islam, katanya.

Prof. Osman Bakar pula berkata kitab Ihya’ Ulumuddin merupakan panduan yang baik kepada semua kerana ia memenuhi keperluan insan melangkaui zaman. Tambah beliau, tidak ramai yang tahu inti pati naskhah tersebut mengandungi rahsia kebahagiaan. “Manusia moden zaman sekarang dahagakan kebahagiaan tetapi tamadunnya miskin dengan kaedah untuk menikmatinya,” katanya.

•••

Menyumbanglah seikhlas hati anda, walaupun RM1. Klik: https://www.billplz.com/kssb1444H

Dan sertai ABIM di sini: https://www.abim.org.my/daftar-keahlian-online/

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR