PRN MELAKA: ABIM GESA PARTI BERTANDING AMBIL BERAT ISU KRISIS IKLIM - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

PRN MELAKA: ABIM GESA PARTI BERTANDING AMBIL BERAT ISU KRISIS IKLIM

Kenyataan Media Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

16 November 2021 / 11 Rabiul Akhir 1443 H

PRN MELAKA: ABIM GESA PARTI BERTANDING AMBIL BERAT ISU KRISIS IKLIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan Pengerusi badan perhubungan Umno Melaka Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, mengenai tambakan laut di pesisir pantai Melaka.

ABIM menilai kenyataan beliau bahawa nelayan masih boleh meneruskan kehidupan sebagai nelayan kerana permukaan laut yang luas, sebagai tidak bertanggungjawab dan seakan tidak mempedulikan nasib golongan nelayan yang terkesan akibat dari perubahan ekosistem hidupan marin yang ditangkap khususnya udang geragau (bahan untuk membuat belacan dan cencaluk) yang hidup secara khusus di persisir pantai.

ABIM juga menzahirkan kebimbangan terhadap perlaksanaan projek tambakan yang merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ), yang dimuatkan dalam manifesto Barisan Nasional. M-WEZ dilaporkan akan melibatkan kawasan 10,000 hektar, menjangkau sepanjang Pantai Kundur, Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Telok Mas, sehinggalah ke bahagian utara Serkam (kawasan tarikan pelancong makanan ikan bakar). Alasan bahawa penambakan laut telah lama diadakan tidak seharusnya dijadikan justifikasi, kerana rungutan masyarakat Melaka terhadap tambakan laut adalah satu realiti berdasarkan penambakan laut sebelum ini yang telah berlaku.

Ini kerana tambakan laut akan mempengaruhi perubahan arus ombak yang boleh mengakibatkan hakisan dan banjir, di samping mengakibatkan kemusnahan batu karang serta habitat pelbagai kehidupan marin termasuk penyu di Pulau Upeh yang termasuk dalam jangkauan kawasan yang akan menerima kesan daripada penambakan laut yang akan dilakukan.

Selain itu, perlu ditegaskan pesisiran pantai juga terutamanya paya bakau adalah sumber makanan kepada hidupan laut. Sekiranya rantaian ini diputuskan maka jumlah ikan di laut boleh mengalami kepupusan dan ini tidak mengambil kira kesan pencemaran yang berlaku di laut lagi. Atas dasar itu, ABIM menyeru pengundi negeri Melaka mengambil peranan menyedarkan pemimpin politik yang bertanding untuk mereka komited menghentikan projek yang menjejaskan ekosistem dan hidupan alam tersebut serta menguruskan pentadbiran alam secara berhemah dengan tidak memberikan kesan buruk kepada rakyat.

Selain itu, atas kesedaran yang dinyatakan, ABIM juga menggesa pemimpin politik yang bertanding untuk memberikan komitmen penuh untuk melaksanakan perubahan dalam urus tadbir melibatkan isu alam sekitar dan kelangsungan iklim dengan menghadkan kuasa mutlak Ketua Menteri serta exco kerajaan negeri dalam membuat keputusan kepada perkara-perkara yang dilihat boleh menjejaskan alam seperti penambakan laut dan pembukaan tanah baharu.

ABIM berpandangan, PRN Melaka ini adalah ruang yang membolehkan pengundi Melaka menilai dan memilih dengan rasional pemimpin yang bertanggungjawab mempertahan kelangsungan kehidupan masyarakat dan hidupan alam untuk jangka masa panjang dengan mengenepikan tindakan membuang undi yang berdiri hanya atas faktor sentimen kepartian semata-mata.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) &

Penyelaras, Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN)

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti