Program Dermaga Wujudkan Support System Untuk Remaja Di Perak - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Program Dermaga Wujudkan Support System Untuk Remaja Di Perak

19hb Ogos 2016 (Jumaat): Alhamdulillah, telah berlangsung Majlis Hi Tea Penghargaan Trainer Diriku Permata Berharga (Dermaga) Peringkat Negeri Perak. Presiden ABIM, Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim yang pada sebelah pagi menyertai pertemuan bersama Menteri Negara Kanan dari Singapura di Putrajaya, kemudiannya bertolak ke Kompleks Islam Darul Ridzuan, Perak; bagi menghadiri majlis ini.

Diriku Permata Berharga (DERMAGA) lahir dari keprihatinan tinggi terhadap kesedaran dan pendidikan reproduktif dalam kalangan remaja. Program ini adalah anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan ABIM. Bermula 3 Jun 2016 – 11 Ogos 2016 dengan 2 TOT dan 20 sekolah di daerah-daerah Negeri Perak.

TOT melibatkan lebih 70 jurulatih dan kumpulan sokong bantu bagi kalangan remaja dan ibubapa. Penyertaan 3,673 pelajar remaja 13-17 tahun dari pelbagai latar belakang mendapat manfaat dari maklumat yang disampaikan. Peserta lelaki 1,744 dan peserta perempuan 1,929.

Modul didokong dari kerjasama dan lanjutan program pendidikan remaja khusus memastikan pendidikan reproduktif remaja dapat disampaikan kepada sejauh dan seramai mungkin kelompok sasaran. Difahamkan ini kali pertama MAIPk mengambil inisiatif program seumpamanya (sebelum ini fokus program zakat dan kebajikan) atas kebimbangan dan cakna isu sosial semasa.

Objektif khusus : Penyampaian maklumat sampai kepada remaja;

Bentuk kumpulan sokong bantu (support group) kepada remaja dan masyarakat, termasuk peer group/ rakan sebaya;

dan

Semua ahli dalam keluarga dan masyarakat berperanserta dalam isu sosial semasa terutama yang melibatkan generasi muda.

Penghargaan tinggi kepada MAIPk atas kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bahagi. Termasuk JPN yang sentiasa ada dan mendokong bersama tujuan penganjuran dermaga di semua sekolah terlibat. Komitmen ABIM dalam program-program pendidikan komuniti dan kekeluargaan sentiasa diberdaya melalui modul-modul bersesuaian.

Di Peringkat ABIM Negeri Perak telah menubuhkan sekretariat DERMAGA khusus bagi modul kesihatan reproduktif remaja, keibubapaan dan pendidikan anak-anak. Tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Semoga usaha kecil yang dilakukan secara bersama mendapat keberkatan dari Allah.

Ayuh; sejahterakan Malaysia dengan dakwah!