Pulau Pinang Pilih Mantan Ketua Helwa ABIM sebagai Senator

September 7, 2021
editor@abim

UCAPAN TAHNIAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Senator Puan Fadhlina Dato’ Dr. Siddiq di atas penamaan Ahli Dewan Negara (Senator) mewakili DUN Pulau Pinang ke Parlimen Malaysia. Beliau merupakan Naib Presiden (HELWA) ABIM Kesepuluh, dan berkhidmat bagi sesi 2009 – 2017.

Selain bidang sosial dan perundangan, Puan Fadhlina juga turut memberi fokus kepada bidang keilmuan kerana ia adalah teras dalam gerakan ABIM sejak sekian lama.

Bagi beliau wujud keperluan untuk HELWA turut terlibat dalam ‘niche’ intelektual di mana ia menjadi sebahagian daripada kepakaran HELWA ABIM sebelum ini.

Beliau memulakan usaha awal dengan melakukan libat urus dan jaringan dengan pelbagai individu dan institusi wanita, serta melibatkan HELWA dalam pelbagai diskusi yang bersifat intelektual.

Semasa tempoh beliau sebagai Naib Presiden HELWA, isu ekstremisme semakin meningkat dengan penglibatan belia sama ada lelaki mahupun wanita dalam kumpulan pelampau dilihat ancaman kepada golongan belia di Malaysia.

Malah jumlah wanita yang menyertai kumpulan sedemikian adalah tinggi, yang juga berpunca dari pelbagai masalah sosial dan keluarga. Di sinilah bermulanya usaha beliau dalam menangani isu ‘Preventing/Countering Violent Extremism’ bagi memberi kesedaran kepada golongan wanita khususnya ibu dan remaja wanita.

Gerakan Keilmuan HELWA ABIM

Malah, beliau turut mewujudkan Gerakan Keilmuan HELWA bagi mengumpulkan ahli HELWA yang berada dalam bidang akademik dan keilmuan untuk terlibat secara serius dalam ‘niche’ keilmuan.

HELWA digalakkan untuk menyertai seminar dan persidangan sebagai pembentang kertas kerja bagi menyebarkan gerak kerja dan idealisma ABIM. Usaha awal beliau ialah penyertaan ahli HELWA dalam Persidangan memperingati Dr Taha Jabir Alwani yang dianjurkan oleh IIIT di Virginia, Amerika Syarikat.

Perlantikan beliau sebagai Senator jelas mengiktiraf kedudukan dan sumbangan kaum wanita dalam pembinaan bangsa dan negara. Semoga dengan perlantikan ini, kerja-kerja reformasi institusi sama ada di peringkat Parlimen mahupun di negeri Pulau Pinang dapat dipertingkatkan lagi, insya Allah.

#ABIMdiHatiku

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR