
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
REFORMASI TABUNG HAJI MESTI DITERUSKAN, TEGAKKAN AKAUNTABILITI DAN PULIHKAN KEPERCAYAAN
30 Julai 2026 I 15 Safar 1448H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji serta kesediaan kerajaan mendedahkan dapatan tersebut kepada umum. Langkah ini merupakan manifestasi komitmen terhadap ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam mengurus sebuah institusi yang memegang amanah jutaan pendeposit Islam di negara ini.
ABIM pada masa yang sama mengambil maklum dan memberikan penghargaan terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang telah melaksanakan langkah pemulihan institusi Tabung Haji, termasuk usaha menstabilkan kedudukan kewangan, memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan pendeposit secara berperingkat. Usaha ini wajar diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pembaikan institusi yang berterusan.
ABIM berpandangan bahawa dapatan RCI tidak boleh berakhir sebagai sebuah laporan semata-mata. Sebarang syor yang berkaitan dengan pelanggaran undang-undang hendaklah disusuli dengan siasatan dan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa mengikut lunas perundangan serta berdasarkan bukti yang mencukupi. Tiada mana-mana pihak wajar diberikan layanan istimewa apabila melibatkan amanah dan kepentingan awam.

Dalam masa yang sama, ABIM menegaskan bahawa keutamaan yang lebih besar ialah memastikan reformasi institusi Tabung Haji dilaksanakan secara menyeluruh. Pembaharuan tadbir urus perlu memberi penekanan kepada pengukuhan mekanisme semak dan imbang, peningkatan akauntabiliti, pelantikan kepimpinan yang berasaskan merit, profesionalisme dan integriti, serta memastikan pengurusan institusi ini bebas daripada sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan keputusan yang dibuat demi kepentingan pendeposit.
ABIM turut menggesa agar semua syor reformasi yang dikemukakan oleh RCI dilaksanakan secara berperingkat dan dipantau secara berterusan. Reformasi ini bukan sahaja bertujuan memperbetulkan kelemahan lalu, bahkan membina sebuah Tabung Haji yang lebih berdaya tahan, diyakini dan mampu memenuhi amanah umat Islam pada masa hadapan.
Pada masa yang sama, ABIM menyeru seluruh masyarakat agar menilai dapatan RCI secara objektif dan berasaskan fakta. Isu ini tidak wajar dipolitikkan atau dijadikan bahan polemik yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi Tabung Haji. Matlamat utama semua pihak seharusnya ialah mempertahankan sebuah institusi strategik umat Islam melalui reformasi yang menyeluruh, akauntabiliti yang tegas dan tadbir urus yang terbaik.
‘Menegakkan Kebenaran dan Keadilan’
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia
