
Oleh: Syafiq Ismail
Dalam kegembiraan kita merayakan Syawal yang meriah di Malaysia ini, seharusnya direnung semula situasi diri kita, adakah Ramaḍān kali ini telah cukup untuk metarbiahkan nafsu hayawani di dalam diri kita, atau masih perlu kepada tarbiah susulan? Justeru, memerlukan kepada nasihat yang konsisten, dan bahan beringat yang memadai, kerana pergelutan belum selesai, dan ujian baru saja bermula.
Sepertimana slogan yang diajukan Shaykh Yūsuf al-Qarḍāwī ḥafiẓahullāh, “Kūnū Rabbāniyyīn wa lā takūnū Ramaḍāniyyīn!” yang maksudnya, “Jadilah insan Rabbānī, dan janganlah jadi insan Ramaḍānī semata-mata!”
Sekiranya diperhalusi, ada benarnya nasihat ini, agar kita istiqamah dalam memandu kehidupan sehari-hari kita, dan menjadikan Ramaḍān sebagai pemacunya.
Diriwayatkan daripada beberapa ulama Salafuṣṣāliḥ mengatakan, bahawa “Setiap hari yang tidak dimaksiatkan, merupakan hari raya.”
Pelbagai karangan para ulama secara am berkenaan fadhilat Ramaḍān tersebar luas, namun kurang yang mengkhususkannya buat bahan beringat pasca-Ramaḍān, seperti karangan al-Ḥāfiẓ Ibn al-Jawzī ini. Kita merujuk kepada teks Widā’ Ramaḍān, karangan al-Ḥāfiẓ Ibn al-Jawzī raḥimahullāh, yang telah ditaḥqīq oleh Dr. ‘Abd al-Ḥakīm al-Anīs. Kita tidak menterjemahkan seluruh buku tersebut, kita menterjemahkan bahagian khusus yang menumpukan nasihat beliau berkenaan Ramaḍān sahaja.
Pasca Ramadan ini, kami berbesar hati untuk memberikan bahan bacaan percuma bertajuk “Selamat Tinggal Wahai Ramadhan” yang dikarang oleh ulama kurun ke-6 Hijrah, iaitu al-Hafiz Ibn al-Jawzi, sebagai nasihat buat diri kita. E-buku ini boleh dimuatturun secara percuma melalui link ini.
