Semangat Juang Tinggi dan Perpaduan Bawa Malaysia Layak Ke Sukan Olimpik 1980

September 18, 2021
editor@abim

Semangat Juang Tinggi dan Perpaduan Bawa Malaysia Layak Ke Sukan Olimpik 1980

Selepas kejayaan skuad bola sepak negara menempatkan diri ke temasya Olimpik Munich (Jerman Barat) 1972, Malaysia mengulangi kejayaan sama apabila layak beraksi di Olimpik Moscow (Kesatuan Soviet) pada 1980.

Semangat perpaduan tinggi dalam kalangan pemain adalah faktor kekuatan serta penentu kejayaan pasukan bola sepak negara yang layak ke Sukan Olimpik pada tahun 1980. Mereka seperti satu keluarga, makan, tidur dan menjalani latihan bersama-sama.

Skuad kebangsaan Malaysia menjalani Kem Latihan Pra-Olimpik 1980 di Sri Berkat, Bukit Fraser, Pahang.

Pasukan negara ditunjangi bintang bertaraf antarabangsa daripada pelbagai kaum seperti R. Arumugam, Jamal Nasir, Shukor Salleh, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Khalid Ali, Bakri Ibni, Hassan Sani dan James Wong.

Pada peringkat kumpulan, anak buah Karl Heinz Weigang menewaskan Korea Selatan (3-0), Brunei (3-1), Indonesia (6-1), Filipina (8-0) dan seri 1-1 dengan Jepun.

Setelah menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan penentuan, skuad bola sepak negara layak kali kedua ke Sukan Olimpik selepas Munich 1972.

Namun, impian itu tidak menjadi kenyataan apabila Malaysia memboikot temasya kerana membantah pencerobohan Kesatuan Soviet (USSR) ke atas Afghanistan. 

Apa yang menyedihkan adalah selepas Munich 1972 dan Moscow 1980, skuad negara gagal untuk melayakkan diri dalam mana-mana kempen Olimpik untuk sukan bola sepak.

Namun, semangat kesatuan dan perpaduan yang dipamerkan oleh para legenda negara seharusnya menjadi iktibar. Tanpa mengira perbezaan latar belakang dan warna kulit, mereka bersama-sama memahami kaedah terbaik untuk membentuk kesefahaman serta corak permainan yang jitu dalam menghadapi lawan.

Seperti yang kita sedia maklum, gabungan Semenanjung, Sabah, Sarawak (dan Singapura) membentuk Malaysia. Sebuah wilayah dari Selat Melaka, Laut China Selatan ke Laut Sulu. Dari tanah besar Asia ke Borneo. Dengan kemajmukan penduduk yang menyatu atas prinsip, membentuk Bangsa Malaysia.

Justeru, kita selaku Bangsa Malaysia yang sedar perlu bersama meraikan perbezaan yang kita miliki, dan berkongsi kesepakatan pada nilai-nilai yang baik, di luar acuan serta lingkungan tafsiran politik kepartian.

Sebagai rekod, pada Jun 2021, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan kesemua 89 gol yang pernah diledak legenda negara, Almarhum Datuk Mokhtar Dahari bersama skuad kebangsaan, sekali gus meletakkannya sebagai penjaring ketiga terbanyak dunia selepas Cristiano Ronaldo (Portugal) dan Ali Daei (Iran).

Lionel Messi direkodkan menyumbat 70 gol untuk Argentina.

Mokhtar yang lebih dikenali sebagai ‘SuperMokh’ mengumpul 89 gol daripada 142/138 penampilan bersama skuad bola sepak negara sebelum meninggal dunia pada 11 Julai 1991 pada usia 37 tahun.

Menurut beberapa sumber statistik lain pula, SuperMokh dicatatkan telah menjaringkan 85 gol, menjadikannya pemain di tempat ketiga pada keseluruhannya dalam carta ‘All-Time International Goal Scorers’.

Sementara itu, hasil kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan rakan FIFA, The Record Sport Soccer Statistics Foundation (RSSSF) bagi memeriksa semula data perlawanan, Datuk Soh Chin Ann diumumkan mewakili negara sebanyak 195 perlawanan bagi aksi rasmi.

Beliau yang popular dengan gelaran ‘Tauke’, ditabal sebagai pemain paling banyak beraksi pada peringkat dunia dalam senarai teratas Kelab Satu Abad FIFA (FIFA Century Club), satu penghormatan eksklusif terhadap pemain yang mewakili negara mereka sekurang-kurangnya 100 penampilan antarabangsa.

Bintang dunia lain yang tersenarai antaranya adalah Bader Almotawaa (Kuwait); Sergio Ramos (Sepanyol); Cristiano Ronaldo (Portugal) dan Gianluigi Buffon (Itali).

Berdasarkan kemaskini yang dilakukan oleh FIFA pada 4hb Mei 2021 yang lalu, setakat ini 7 orang pemain dari Malaysia berada dalam senarai terkini daripada keseluruhan 494 orang pemain yang telah menempatkan diri dalam Kelab Satu Abad FIFA.

Selain Tauke, pemain yang tersenarai adalah Datuk Abdul Shukor Salleh (163 penampilan); Almarhum Datuk Mokhtar Dahari (138 penampilan); Mendiang Datuk R. Arumugam (131 penampilan); Zainal Abidin Hassan (116 penampilan); Mendiang Datuk M. Chandran (115 penampilan) dan Datuk Santokh Singh (100 penampilan).

Terima kasih atas memori bola sepak indah yang ditinggalkan SuperMokh, Tauke dan rakan-rakan mereka. Semoga bola sepak negara akan bangkit semula. Selamat Hari Malaysia!

#DemiMalaysia #BangsaMalaysia #BangkitBersama

Sumber: Berita Harian, Utusan dan Arena Bola Sepak.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR