Seniman Mamat Khalid meninggal dunia, rebah di restoran miliknya - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Seniman Mamat Khalid meninggal dunia, rebah di restoran miliknya

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan takziah di atas kepergian Almarhum Seniman Mohamad bin Mohamad Khalid (Mamat Khalid), penerbit dan pengarah tersohor yang menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12:30 tengah malam tadi.

Beliau dilaporkan rebah di restoran ikonik miliknya iaitu Sarang Art Hub (The Nest) di Tanjung Malim, Perak. Bagaimanapun, Almarhum disahkan meninggal dunia dalam ambulans ketika perjalanan ke di Hospital Slim River.

Almarhum Mamat Khalid, 58 tahun, meninggalkan seorang isteri, Puan Hasmah Hassan serta lima orang anak. Beliau merupakan adik kepada kartunis tersohor negara, Datuk Mohammad Nor Khalid (Datuk Lat).

Almarhum cukup disegani dalam dunia perfileman tempatan dan karya-karyanya sering pecah panggung serta memberi kesan cukup hebat kepada penonton.

Antara karya hebat pengarah tersohor itu adalah Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Rock, 16 Puasa dan Hantu Kak Limah.

Beliau sinonim dengan filem komedi satira dan sering menyelitkan isu masyarakat serta kritikan sosial.

Jasa beliau dalam bidang perfileman amat dihargai lebih-lebih lagi dalam memperkenalkan watak Pembantu Perubatan dalam filem-filem arahannya.

Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkan beliau di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.

InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.

#AlFatihah