Tadabbur Israk Dan Mikraj: Kurnia Selepas Ujian

February 28, 2022
editor@abim

TADABBUR ISRAK DAN MIKRAJ: KURNIA SELEPAS UJIAN

Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, pada tahun ke-10 selepas pengutusannya, diuji dengan kehilangan dua orang yang amat bermakna di dalam hidupnya: bapa saudara yang membesarkannya, Abu Talib, dan isterinya, Khadijah yang banyak membantu dan bersabar bersamanya di jalan dakwah.

Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam disakiti oleh penduduk Mekah dan Toif, hingga Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam berdoa, “Wahai Allah, hanya kepada-Mu daku mengadu akan lemahnya kekuatanku, kebuntuan usahaku, dan hinanya daku depan manusia. Wahai Yang Maha Kasih antara sekalian yang mengasihi!” (Hadith Riwayat at-Tabrani).

Sebagai kurnia atas keimanan dan kesabaran Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, Allah Subhanahu wa-ta’ala memperlihatkan kuasa-Nya membawa Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam dari Kota Mekah ke Palestin, lalu menaikkannya menembusi langit ketujuh, dalam tempoh satu malam, malam Israk dan Mikraj, yang penuh dengan keajaiban.

Demikianlah balasannya bagi yang bersabar dan teguh imannya kepada Allah Subhanahu wa-ta’ala. Malam Israk dan Mikraj yang penuh bermakna ini, sama-samalah kita banyak berdoa, agar dilindungi daripada marabahaya serta ancaman Virus Covid-19 selain bencana alam.

Sesungguhnya, janganlah kita berputus asa daripada rahmat dan bantuan-Nya! Allah Subhanahu wa-ta’ala itu dekat, dan sentiasa mendengar dan mengabulkan permintaan umat-Nya: dalam setiap ujian, pasti ada hikmahnya.

Oleh: Ustaz Haji Mohammad Syafiq Ismail at-Tauhidi, Ketua Biro Dakwah dan Tarbiyah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR