Terima Kasih Penyumbang KSSB 1437H:- Maria Kamel - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Terima Kasih Penyumbang KSSB 1437H:- Maria Kamel

Barangkali secara formalnya, berakhir sudah diari Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) tahun ini. Sedekad skuad prihatin KSSB mencarik sejarah sebagai perantara menyampaikan amanah dan kepercayaan sekalian ramai orang; menyerahkan sumbangan keperluan makanan asas kepada mereka yang berkeperluan.

Sekampit beras sekadar simbolik keperluan makanan asas, selebihnya adalah untaian ukhuwwah dan kasih sayang serta rasa prihatin yang dijalinkan antara penyumbang dan keluarga penerima sumbangan. Tidak kira pangkat, bangsa, agama, ras, usia, pekerjaan, kawasan penempatan dan sebagainya, masyarakat semakin prihatin dan sedar bahawa rezeki diterima ada yang perlu dikongsi terutama kepada yang memerlukan.

Bahkan bagi penerima, iltizam dan doa sentiasa dipanjatkan agar si penyumbang sentiasa dirahmati dan penerima turut sama sebaris sebagai penyumbang pada masa akan datang. Biarlah hanya sekampit beras, asal maksud persaudaraan dan sedeqah itu dapat diterjemahkan. Dan di hujungnya ada pendidikan di titipkan; informasi dan maklumat tentang institusi bersesuaian dsb. KSSB dan sekampit beras mungkin berakhir, tetapi pengalaman hadir dan duduk berkongsi rasa dengan mereka yang kurang dan tidak berkemampuan adalah koreksi diri paling berharga; buat diri dan sukarelawan lapangan.

Terima kasih kepada semua penyumbang budiman; individu mahupun organisasi dan agensi. Terima kasih kepada penerima juga yang sentiasa positif untuk meneruskan hidup dalam penuh kepayahan. Terima kasih kepada media yang memberikan ruang maklumat disampaikan. Terima kasih kepada rakan fb dsb memanjangkan keprihatinan. Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik kebaikan dan kemenangan yang hakiki di penghujung Ramadhan ini buat semua.