SEPANG: Seramai 20 sukarelawan dari Malaysia berlepas ke United Kingdom hari ini bagi menyertai misi kemanusiaan, Konvoi Perpaduan Ambulans Untuk Syria. Ketua Misi Konvoi Perpaduan Ambulans dari United Kingdom ke Syria, Mohamed Muaz Mohamed Ruslan berkata tujuan utama konvoi adalah untuk menghantar kira-kira 100 ambulans lengkap dengan keperluan perubatan ke Syria.
Katanya, kesemua sukarelawan Malaysia akan menyertai lebih 150 sukarelawan antarabangsa dari beberapa negara lain termasuk Australia, Jerman serta Indonesia berkumpul di United Kingdom dan akan bergerak dari United Kingdom ke Syria pada Isnin ini dan dijangka tiba di Syria 4 Mei ini. “Mereka akan memandu sendiri menelusuri bumi Eropah hingga ke Idlib, Syria dengan menaiki kira-kira 100 ambulans dilengkapi dengan keperluan perubatan yang disumbangkan pelbagai pihak termasuk tujuh ambulans dari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebelum berlepas ke United Kingdom sebentar tadi. Turut menyertai konvoi berkenaan adalah wartawan BH, Syed Azwan Syed Ali. Katanya, kesemua sukarelawan dari Malaysia yang berumur 19 hingga 35 tahun terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ada yang berkhidmat sebagai guru.
Mereka terdiri daripada aktivis kemanusiaan daripada pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan termasuk Malaysian Life Line for Syria (MLLFS), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Global Peace Mission Malaysia dan Humanity Heroes.
Sementara itu, Penolong Ketua Misi Misi Konvoi Perpaduan Ambulans dari United Kingdom ke Syria, Syahrir Azfar Salleh berkata, konvoi berkenaan adalah inisiatif NGO di peringkat antarabangsa yang berpusat di United Kingdom dan MLLFS bertindak sebagai koordinator di peringkat serantau.