IPOH 24 Dis. – Berserah kepada Allah dan mendidik anak-anak dengan ilmu agama merupakan rahsia kejayaan mantan Yang Di Pertua ABIM Negeri Perak, Arip Sa’aya yang menerima Anugerah Keluarga Mithali sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri hari ini. Arip, 61, bekas Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Sarawak berkata, berkat didikan agama, kesemua 11 anaknya berjaya dalam pelajaran dengan dua daripada mereka bergelar doktor manakala dua lagi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir.
Menurutnya, ilmu agama diterapkan sejak kecil lagi malah anak-anaknya sudah diajar mengerjakan solat hajat sejak di sekolah rendah. Arip dikurniakan lima anak lelaki dan enam perempuan termasuk dua pasangan kembar, berusia di antara 11 hingga 33 tahun. “Berdoa dan berserah kepada Allah, itu yang saya lakukan dalam mendidik anak-anak kerana Allah yang memberikan kita segala-galanya,” katanya.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Mengulas lanjut kata Arip, melalui kehidupan yang susah sehingga dia tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah adalah motivasi kepadanya untuk mengubah keadaan hidup keluarga.
Walaupun tidak ke sekolah menengah, dia berusaha menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sebagai calon persendirian sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. “Saya daripada keluarga susah, tetapi itulah kurniaan Allah yang memberikan keazaman untuk saya berusaha sehingga berjaya,” katanya.
Menerusi status Facebook beliau; Ustaz Arip Sa’aya dengan rendah diri mengucapkan “Alhamdulillah. Terima kasih semua atas ucapan . sesungguhnya kami bukanlah org yg sempurna. Kami mohon terus doakan keberkatan keluarga kami. Kami juga mendoakan kejayaan Dan keberkatan utk semua”.
Menurut Puan Nurul Hana Mohamed Khairi (menantu), sepanjang mendidik 11 orang anak-anaknya , Ustaz Arip Saaya tidak me kesenangan di dunia semata-mana tetapi sentiasa menitik beratkan kepentingan solat tahajud dan betapa doa dan keredhaan ibu bapa itu sangat penting dalam kehidupan di dunia dan akhirat.