Ustaz Siddiq Fadzil: Murabbi Kembali Ke Negeri Abadi

September 2, 2021
editor@abim

Ustaz Siddiq Fadzil: Murabbi Kembali Ke Negeri Abadi

Dengan rasa sedih dan penuh dukacitanya disampaikan bahawa Presiden ABIM ketiga juga Murabbi kita, Prof. Ustaz Dato’ Dr Siddiq Fadhil (USF) telah kembali menemui Penciptanya pada jam 6:32 petang, Selasa, 31hb Ogos 2021.

Beliau adalah seorang pemikir dan pendidik yang sangat besar jasanya kepada tanah air Malaysia. Ceramah beliau sering berisi analisa tajam dengan salutan pantun puisi yang adakala bunyinya lucu tetapi menusuk. Tidak jemu mengambil buah fikiran beliau yang segar.

Tokoh intelektual Melayu yang dihormati ini juga adalah seorang cendekiawan dan aktivis dakwah yang sedia dikenali ramai. Pidatonya cukup memukau, gaya bahasanya dengan lenggok baku dan keIndonesiaan sering disulami selang seli lelucon (komedi) yang bersahaja dan berbau sindiran yang cukup mengesankan.

USF, Tokoh Da’ie yang Tiada Galang Ganti

Tiada galang ganti, kebanggaan dan nadi dalam ABIM yang tersangat dihormati kerana ilmu dan kepimpinannya. Seorang murabbi yang disayangi. Ilmuwan yang sentiasa sarat dengan buah fikiran dan ketinggian bahasa dalam menyeru ke arah menjadi manusia berbudi.

Tutur katanya selalu membuat kita terpana. Idea dan gagasan diilhamkannya dalam mengetengahkan Fiqh/Manhaj Maliziy (keMalaysiaan) sejak 1980an hingga kini banyak menyumbang kepada kajian dan rujukan sarjana.

Ustaz Siddiq yang pernah mengetuai ABIM dari 1983 hingga 1991, menjadi rujukan banyak pihak berkenaan Maqasid As-Syar’iah, Al-Islam Rahmatan Lil Alamin serta Pembinaan Bangsa Malaysia berasaskan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, dijadikan rujukan kontemporari umat Islam untuk mencorakkan gagasan Malaysia Baharu.

Atas segala sumbangan beliau dalam pemikiran Islam dan kelangsungan agenda Islamisasi di tanah air, Ustaz Siddiq diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018M. Anugerah disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang berkenan mengurniakan anugerah itu kepada Ustaz Siddiq di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Ustaz Siddiq yang juga pernah diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Perak 1427H/2006M, banyak menyumbang kepada dunia akademik melalui Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Dar al-Hikmah (KDH).

Aktif dalam Bidang Aktivisme dan Intelektualisme

Bapa kepada tujuh anak itu pernah menyandang jawatan Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK), Ahli Panel Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) dan Pengerusi Kajian Maqasid Shariah IDE.

Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM), USF juga adalah Presiden KDH, Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) dan Profesor Adjung di Universiti Selangor (UNISEL).

USF pernah menjadi pemimpin gerakan belia PKPIM dan ABIM dari 1970an hingga awal 90an, malah pernah sezaman dengan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Presiden Kedua ABIM) serta Almarhum Ustaz Fadzil Noor (Mantan Presiden PAS dan pernah memangku Presiden ABIM). Era kebangkitan generasi ini disebut sebagai ‘Semangat Darah Muda’ (The Angry Generation) yang bangkit mengangkat suara rakyat serta isu kebajikan umat.

Ustaz Siddiq Fadzil, pemikir Islam yang sering melontarkan idea dan gagasan yang menggugah minda dan mendahului zaman. Menjadi Presiden ABIM dalam era penuh cabaran dan kontroversi, berjaya mengemudi gerakan Islam itu dengan sabar dan tenang.

Bacaan, syarahan dan kupasan Almarhum mengenai satu-satu isu sangat mendalam ibrahnya, jauh nuansa maqasidinya dan terasa dekat kesannya pada diri serta harmoni daripada perbalahan sesama umatnya. Kita kehilangan permata yang sangat berharga!

Keberanian Seorang USF

USF tetap konsisten dan teguh pendiriannya kepada perjuangan kebenaran dan keadilan yang laungkan sejak bergelar seorang mahasiswa. Itu ketegasannya semasa menjadi editor Risalah terbitan 70an yang menjadi akhbar jurubicara umat ketika itu. Tulisannya tidak disenangi pemerintah dan akhbar pro kerajaan waktu itu.

Beliau konsisten menegaskan bahawa ABIM sebagai sebuah gerakan Islam yang mendokong ‘syumuliyyatu ‘l-Islam’ (kesempurnaan Islam), berpendirian bahawa arena politik seharusnya berlaku dalam ‘rules of the games’ (tertib berperaturan) dan kita tidak dapat menerima politik mengaibkan orang, politik fitnah, politik kotor, politik korupsi dan politik lucah. ABIM tidak akan berdiam diri apabila berlaku perlanggaran terhadap hak asasi manusia, perlanggaran terhadap prinsip keadilan dan pencabulan terhadap kesucian maruah manusia Muslim.

USF, Ilmuan Ummatik Sejati

Berasal dari Sungai Tiang Darat, Bagan Datuk, Perak, sedari usia belianya sudah mula berceramah dengan topik yang berbeza dengan ceramah lain pada zaman tersebut. Bukan cerita Maulid Nabi atau Israk Mikraj saja, tapi juga menyentuh hal ehwal Tarbiah dan isu semasa.

Kata USF, sejak kecil lagi beliau bercita-cita hanya untuk menjadi seorang ilmuan, tidak ada yang lain. Sebab itu walaupun ditawarkan pelbagai jawatan serta kerusi untuk bertanding melalui beberapa parti politik, beliau menolak dengan baik.

Namun, berbeza dengan sesetengah ilmuan lain, KPI seorang USF bukan untuk menulis ratusan buku, tetapi mencetak ribuan generasi ilmuan. Hari ini, bukan saja pernah mencurah bakti sebagai pendidik di Yayasan Anda, UKM dan KDH, malah beliau telah melahir dan memberi inspirasi kepada pelbagai generasi ilmuan yang bertebaran ke serata dunia.  

Dengan nada yang perlahan dan sebak, USF pernah menyatakan: “Bahawa generasi yang seperti saya ini, hanya ingin mendidik adik-adik dan anak-anak….” (Ustaz berhenti sejenak sambil menahan sebak)….dan sambungnya lagi, “Kalau berjuang jangan mengharapkan apa-apa. Tidak ada yang lebih penting daripada mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa-Ta’ala.”

Ustaz Siddiq berpesan, “Rahsianya adalah komitmen bekerja keras dan ikhlas. Itulah senjata kita. Itulah rahsia kebangkitan 1970’an. Selama 40 tahun di dalam gelanggang dakwah, kerja keras dengan ikhlas membawa barakah. Kita amat percaya kepada barakah. Modal besar mana pun tidak akan sampai ke mana-mana. Kuasa dan wang ringgit tidak menjamin barakah.”

“Kita tidak menipu, tidak membohong, tidak menganiaya – ini agar semuanya kerana Allah. Kita tidak bimbang dengan yang lain yang bangkit dengan keangkuhan – ‘arrogance’. Kita tidak pernah dan tidak akan percaya fenomena sehebat mana pun jika terdapat unsur ‘arrogance’ – samada ketakaburan intelektual atau kesombongan bentuk lain. Ilmuwan harus tawaduk.”

USF pernah menyebut semasa zaman beliau belajar, pelajar UKM merasa nyaman bernaung di bawah teduhan ilmu Prof. Tan Sri Syed Naquib al-Attas, manakala pelajar UM terasa bugar di bawah naungan ilmu Prof. Diraja Ungku Aziz. Para aktivis WADAH-ABIM-PKPIM juga pasti sempat merasa teduhnya bernaung di bawah rimbunan idealisme seorang Ustaz Siddiq Fadzil.

Khazanah Warisan Peninggalan USF Buat Kita

USF meninggalkan kita dengan syarahan-syarahan yang menawan, pidato-pidato yang memukau serta kitab-kitab hikmah buat kita umat Islam alam Melayu jadikan panduan. Dari beliau, kita belajar menjadi Melayu yang berjatidiri, menjadi Muslim yang berbudaya dan menjadi bangsa Malaysia yang berprinsip. Selepas al-Fatihah buat beliau, barangkali wajar kita tekuni kembali kitab-kitab ini, tanda ingatan dan rindu kepada beliau, guru umat kita semua.

USF tidak gemar dengan panggilan Tuan Guru yang kepadanya terlalu mengagungkan. Beliau kerap kali menyebut dirinya sebagai ‘Guru Tua dari SuRaDa (Sungai Ramal Dalam)’. Beliau telah meninggalkan sejumlah karya sebagai wasiat kepada kita. Walaupun kita tidak termasuk waris faraid, namun hibah manfaat daripada sekian banyak karya dan buah fikir beliau wajar kita telusuri.

USF meninggalkan bekal yang tidak sedikit buat kita. Kompilasi Kuliah, Tazkirah dan Tausiyah USF boleh dicerap daripada pautan ini:  http://bit.do/SiddiqFadhil

Ayuh kita semua dengar dan sebarkan buah fikir mujaddid dakwah ini yang banyak sumbangannya di persada dakwah sejak zaman PKPIM, ABIM dan WADAH.

Sedihnya bukan kepalang. Pulang sudah Murabbi kesayangan umat. Namun, ketibaan ajal, tidak datang awal atau lambat. Walau sesaat.

Salam takziah pada seluruh ahli keluarga dan kaum kerabatnya. Semoga semua jasa USF dibalas Allah Subhanahu wa-Ta’ala dengan syurga. Inna lillah wa inna ilaihi rajiun. Kehilangan besar buat umat Islam.

#AlFatihah

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR