
Selasa, 20 Mei 2025, Bangi Golf Resort: Alhamdulillah, selesai sudah program Hi-Tea Wanita MADANI anjuran Pertubuhan SALWA Malaysia dan HELWA ABIM Malaysia semalam. Majlis telah berlangsung dengan penuh inspirasi dan penghargaan buat wanita-wanita hebat dari pelbagai latar belakang.

Antara pengisian utama ialah Forum Inspirasi Keluarga MADANI yang menampilkan dua tokoh wanita yang sarat hikmah dan pengalaman iaitu Prof. Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, Profesor, Jabatan Siyasah Syar’iyyah, Universiti Malaya bertajuk “Cabaran Keseimbangan Keluarga dan Kerjaya Terhadap Kesihatan Mental” dan Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, Profesor Adjung, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia bertajuk “Anjakan Paradigma Madrasatul Ula di Era Digital”.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, yang menyampaikan mesej penuh semangat tentang peranan wanita dalam mendidik dan membina keluarga serta masyarakat MADANI.

Antara intipati ucapan beliau turut mengangkat inisiatif Mak-Mak Gajah iaitu gerakan komuniti yang bangkit untuk membantu memberikan pendidikan terbaik kepada kanak-kanak di negara ini selepas insiden tragik seekor gajah betina kehilangan anaknya akibat kemalangan jalan raya.

Majlis berakhir dengan sesi penyerahan cenderahati kepada mantan-mantan Ketua HELWA ABIM yang sekarang disebut sebagai Naib Presiden ABIM (HELWA) sebagai tanda kenang-kenangan.

Antara mantan Ketua HELWA ABIM yang turut hadir ialah Ybhg. Prof. Emerita Dr. Rosnani Hashim, mantan Ketua HELWA ABIM yang ketujuh (Sesi 2001/2003), Ybhg. Puan Hajah Nordiran Idris, mantan Ketua HELWA ABIM yang kelapan (Sesi 2003/2005) dan Ybhg. Puan Hajah Norazura Kamarudin Sohami, mantan Ketua HELWA ABIM yang kesebelas (Sesi 2017/2019). YB Fadhlina Sidek juga merupakan mantan Ketua HELWA ABIM yang kesepuluh (Sesi 2009/2017).

Terima kasih kepada semua yang hadir dan menjayakan majlis ini. Moga bertemu lagi dalam medan inspirasi akan datang!
