Angkatan Belia Islam Malaysia memandang serius penganjuran Seminar yang membicarakan buku Allah, Liberty and Love karangan penulis kontroversi Irshad Manji, yang dijadualkan berlangsung di universiti di bawah seliaan pihak tuan. ABIM menilai penganjuran seminar tersebut sebagai manifestasi kurangnya sensitiviti terhadap pandangan yang dikemukakan majoriti umat Islam terhadap penulis tersebut serta buku-buku beliau, yang banyak mengemukakan pandangan serta pemikiran yang melangkaui asas-asas utama pemikiran Islam.
Sebarang perbincangan atau wacana mengenai Islam seharusnya dianjurkan dengan merujuk kepada aliran utama (mainstream) ajaran serta amalan Islam itu sendiri, yang telah menetapkan kerangka pemikiran yang khusus mengenai sesuatu perkara atau aspek yang di ketengahkan dalam kehidupan umat Islam.
Penganjuran sebarang perbincangan atau wacana berkaitan tanpa merujuk kepada aliran (utama) mainstream Islam tidak sekadar hanya akan mencetuskan kekeliruan, bahkan ia akan mencetuskan polemik negatif tanpa kesudahan di kalangan umat Islam sendiri.
Adalah menjadi harapan agar faktor sensitiviti terhadap asas-asas utama ajaran Islam dapat diambil kira dalam penganjuran mana-mana wacana ataupun perbincangan yang serupa.
MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
