
30 April 2026 – Belia hari ini diakui sebagai generasi yang mahir mengendalikan peranti, namun wujud kebimbangan mengenai kegagalan komunikasi terutamanya komunikasi dari hati ke hati.

Pandangan ini disuarakan oleh Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri, Setiausaha Agung ABIM, yang menegaskan bahawa teknologi pada masa kini lebih banyak berperanan mengekalkan perhatian berbanding membina empati dalam diri individu.
Beliau turut menggariskan dua dimensi kemiskinan yang kritikal; iaitu miskin harta yang melibatkan kekurangan keperluan fizikal yang boleh diukur, serta miskin jiwa yang lebih membimbangkan. Miskin jiwa menyebabkan golongan belia kehilangan imaginasi dan arah tuju masa hadapan, yang seterusnya membawa kepada terhakisnya identiti diri, bangsa, dan negara, serta hilangnya kompas moral dan jati diri.

Perkongsian ini disampaikan dalam Persidangan Sains-Polisi Pembangunan Belia Malaysia yang diadakan di Menara KBS, Putrajaya.
Program anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini turut dihadiri oleh wakil dari Adab Youth Garage (AYG), Muhammad Nizam Samsudin selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Muhammad Amir Iqmal Ahmad Sukri selaku Penolong Pengarah Penyelidikan.

Persidangan ini menghimpunkan kumpulan penyelidik, pembuat dasar, ahli akademik, serta pelbagai pihak berkepentingan untuk berkongsi hasil dapatan penyelidikan dan membincangkan dasar-dasar semasa pembangunan belia.
Matlamat utama penganjuran adalah untuk memperkukuh sinergi antara ekosistem pihak berkepentingan bagi meningkatkan keberkesanan polisi berasaskan bukti (evidence-based policy).
Melalui pemerkasaan dasar sains sosial (science of policy) dalam pembangunan belia, usaha ini diharapkan dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja progresif dan berdaya saing, malah mempunyai jati diri yang teguh dalam mendepani arus pemodenan dunia.
Kredit: iyreskbs
