
KUALA LUMPUR, 20 April 2026 — Pembentukan masyarakat Madani disifatkan sebagai satu visi besar yang menjadi asas kepada masa depan Malaysia, dengan penekanan terhadap pembangunan negara yang seimbang dari segi kemajuan material dan kekuatan nilai.
Naib Presiden Helwa ABIM, Dr. Fatin Nur Majdina, berkata masyarakat Madani merupakan satu wawasan nasional yang bertujuan membina negara berkemajuan dengan menyuburkan kekuatan sedia ada, termasuk aspek keagamaan, budaya, kemajmukan dan keharmonian sosial.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan dalam rancangan Minda Madani yang disiarkan secara langsung di IKIM FM hari ini.
Menurut Dr Fatin Nur Majdina yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya , masa depan perlu dilihat melalui konsep futures thinking iaitu mengakui bahawa kemungkinan yang mungkin berlaku pada masa depan yang bergantung kepada tindakan manusia pada hari ini.
“Kita tidak bercakap tentang satu masa depan sahaja, tetapi pelbagai kemungkinan masa depan yang ditentukan oleh pilihan dan tindakan kita sekarang,” jelas beliau.
Dalam konteks itu tambahnya, setiap individu mempunyai peranan dalam mencorakkan hala tuju negara.
Mengulas aspek tindakan, Dr. Fatin Nur Majdinna menekankan kepentingan persediaan berterusan sebagaimana yang digambarkan dalam hadis tentang menanam benih walaupun kiamat dijangka berlaku keesokan hari.
“Walaupun kita tahu penghujung itu dekat, usaha tetap perlu diteruskan. Itu menunjukkan Islam mengajar kita untuk sentiasa produktif dan menyumbang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa bagi seorang Muslim, matlamat masa depan yang tertinggi adalah mencapai Jannatul Firdaus.
“Jika itu sasaran kita, maka tindakan hari ini mesti selari—berbuat baik kepada ibu bapa, menjaga hubungan dengan jiran dan memelihara alam sekitar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa masyarakat kini berhadapan dengan era “post normal” yang dicirikan oleh ketidaktentuan dan perubahan pantas, seperti fenomena perubahan iklim yang boleh mencetuskan bencana di luar jangkaan.
“Hari ini kita lihat banjir berlaku di kawasan yang tidak dijangka. Ini tanda dunia sedang berubah dan kita perlu bersedia,” katanya.
Oleh itu, masyarakat perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.
AKHLAK GENERASI MASA DEPAN
Tambah beliau, kelestarian masa depan generasi akan datang bergantung kepada penghayatan nilai dan akhlak, khususnya enam nilai teras Madani.
Sifat ihsan, katanya, bukan sekadar belas kasihan, tetapi merangkumi tindakan aktif untuk membantu dan saling melengkapi antara satu sama lain.
“Ihsan bukan hanya rasa simpati, tetapi bagaimana kita bertindak untuk meringankan beban orang lain,” jelasnya.
Menyentuh aspek pembangunan modal insan, Dr. Fatin Nur Majdina menjelaskan bahawa pendidikan masa depan tidak boleh terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pembinaan jati diri.
“Kita mahu melahirkan manusia yang bukan sahaja bijak, tetapi berakhlak dan berdaya tahan,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif seperti aktiviti mencuci tandas boleh menjadi medium mendidik hati, membina daya tahan serta memupuk sikap hormat dalam kalangan generasi muda.
Dr Fatin Nur Majdina turut menegaskan bahawa masa depan yang sejahtera memerlukan tindakan strategik dan terancang yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat.
“Ia bermula dari diri sendiri, kemudian keluarga, dan seterusnya masyarakat. Kita perlu urus kewangan dengan baik dan pada masa sama mengekang penyebaran maklumat palsu,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, beliau menegaskan bahawa masa depan tidak sekadar diramal, tetapi perlu dicipta melalui tindakan hari ini.
“Cara terbaik untuk meramal masa depan adalah dengan menciptanya. Apa yang kita lakukan sekarang akan menentukan kedudukan negara kita pada masa hadapan,” katanya.
