
Sejak mula beroperasi pada tahun 2024, Outreach Oasis ABIM Bukit Bintang yang terletak di No. 1, Jalan Bukit Bintang terus menjadi antara ruang dakwah aktif di tengah-tengah ibu kota.
Pusat dakwah milik Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu sebelum ini pernah dirasmikan oleh bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan.
Apa yang lebih menarik, penubuhan Outreach Oasis sebenarnya lahir daripada cita-cita besar para murabbi ABIM, khususnya Allahyarham Prof. Dr. Abdul Halim El-Muhammady.

Beliau pernah menyuarakan harapan agar Bukit Bintang yang selama ini terkenal dengan hiburan dan suasana malamnya, suatu hari nanti turut dikenali sebagai tempat yang bercahaya dengan dakwah, ilmu dan agama.

Sebab itu pelbagai aktiviti diadakan di sini. Antaranya usrah mingguan, street dakwah, santai anak muda, bedah buku, sembang kopi dan macam-macam lagi.

Mungkin ada yang melihat usaha ini kecil, tapi bagi mereka yang turun sendiri ke lapangan, inilah antara usaha pengislahan untuk menjadikan Bukit Bintang lebih baik sedikit demi sedikit.
Dalam masa sama, pihak ABIM menjelaskan usaha dakwah di Bukit Bintang bukanlah baru bermula sekarang.
“Ada yang mungkin ingat dakwah di Bukit Bintang baru bermula 8 Mei 2026, padahal sebenarnya usaha ini sudah lama berjalan. Banyak kumpulan dakwah yang buat kerja secara kecil-kecilan di sini,” katanya.
Tambah mereka lagi, Bukit Bintang memang sejak dulu menjadi tumpuan pelancong dan pusat hiburan, jadi kawasan ini sememangnya antara lokasi penting untuk mendekati masyarakat termasuk pelancong antarabangsa.
Kalau ada masa, singgahlah ke Outreach Oasis ABIM Bukit Bintang. Boleh minum kopi sekali sambil bersembang santai. Cuma katanya, “Outreach Oasis mohon taja secawan kopi!”
