
9 Jun 2026 – Alhamdulillah, ABIM telah menyertai Bengkel Libat Urus Strategik Anak Muda dan Bukan Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang berlangsung di International Youth Centre (IYC), Kuala Lumpur.
Program ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk wakil pertubuhan belia, institusi pengajian tinggi serta komuniti bukan Islam, sebagai ruang dialog dan perkongsian pandangan dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap Islam, di samping meneliti peranan media dalam konteks generasi muda khususnya Generasi Z.

ABIM melihat pendekatan libat urus seperti ini sebagai satu usaha penting dalam memperkukuh ekosistem komunikasi dakwah yang lebih inklusif, responsif dan berasaskan realiti masyarakat, khususnya dalam mendekati anak muda serta memperluas ruang kefahaman antara komuniti berbeza latar belakang.

Bengkel ini juga membuka ruang penting dalam menilai semula pendekatan komunikasi dakwah dan keterlibatan masyarakat, khususnya dalam mendepani perubahan landskap digital serta dinamika sosial semasa.
Terima kasih IKIM atas jemputan. Moga IKIM terus maju dan kekal dinamik dalam menyebar dakwah dan ilmu!
