PIAGAM PERPADUAN UMMAH

June 16, 2026
firdaus Abim


Oleh: Dato’ Dr Siddiq Fadzil

Barangkali terlalu ideal untuk membayangkan perpaduan secara mendadak. Prosesnya mungkin memakan masa. Yang penting semua semua pihak harus dirangsang dan didorong terus menerus ke arah perpaduan. Proses menuju perpaduan tulen harus bertolak dari kesepakatan dalam beberapa perkara asas.

Perjalanan menuju perpaduan harus bermula dengan mewujudkan suasana yang kondusif. Semua pihak harus memperlihatkan isyarat-isyarat positf-indikatif menginginkan perpaduan. Antaranya dengan menghentikan tindakan-tindakan provokatif terhadap pihak lain.

Islam adalah ad-Din, agama wahyu Ilahi yang mutlak dan murni yang ditanzilkan untuk menjadi petunjuk kepada manusia menjalani segala aspek kehidupannya. Ia harus dibezakan dari budaya karya manusia. Dengan memahami dan menghayati hakikat ini akan terhindarlah kemungkinan mengagamakan politik dan segala sepak terajang kepartian bukan agama.
Sebagai ciptaan dan perlakuan manusia, parti boleh betul dan boleh salah. Dengan demikian mengagamakan politik yang sedemikian sifatnya itu jelas salah.

Demikian pula dengan amalan mempolitikkan agama dalam erti menjadikan agama hanya sekadar alat untuk mencapai untuk mencapai kuasa politik, bukan untuk didaulatkan secara jujur, juga jelas salah. Yang seharusnya diamalkan ialah berpolitik secara agama dalam erti menjadikan ajaran agama sebagai panduan melaksanakan kegiatan politik.

Perpecahan berlaku apabila ada pihak yang merasa dilayani secara tidak adil atau merasa haknya dinafikan. Kerana itu iltizam terhadap prinsip keadilan harus ditingkatkan. Memang keadilan harus ditingkatkan.
Memang keadilan selamanya merupakan faktor asas perpaduan, baik antara pemerintah dengan rakyat mahupun antara sesama umat. Kerana itulah keadilan diangkat sebagai nilai teras ajaran Islam sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Qur’an (surah an-Nahl: 90).


Tidak ada perpaduan tanpa keadilan sosial, di mana setiap orang mendapat haknya yang sah. Andainya dalam sesebuah masyarakat sudah wujud golongan “anak emas” dan golongan “anak tiri” perpecahan pasti akan terjadi. Kerana itu al-Qur’an mengingatkan agar jangan sampai berlaku pembolotan oleh kalangan tertentu.


Ayat “harta (kekayaan negara) tidak seharusnya berkisar hanya di kalangan orang-orang kaya sahaja” membawa maksud distributive justice, keadilan yang merata akan dengan mudah mencetuskan kecemburuan sosial, suatu bom waktu yang apabila sampai saatnya akan meletak sebagai konflik sosial terbuka.

Mengurus kekayaan dalam erti mengagihkannya dengan adil ternyata tidak mudah, bukan ketiadaan panduan tetapi lebih disebabkan oleh sifat rakus manusia. Memang manusia bila-bila pun dan di mana pun bersifat terlalu menyintai harta. Kerana itu pulalah harta kekayaan sering kali menjadi punca perpecahan dari keluarga hinggalah kepada negara dan dunia.

Kerana tamak, manusia selalu kehilangan sifat amanah, lalu mengambil hak orang lain. Mungkin itulah yang tersirat dalam peristiwa tangisan ‘Umar ibn al-Khattab r.a saat menerima penyerahan harta rampasan perang dari Farsi. Ketika ditanya kenapa beliau menangis pada saat yang seharusnya bergembira pada saat yang seharusnya bergembira dan bersyukur, beliau menjawab, “benar, memang saat ini ialah saat gembira dan syukur. Tetapi Allah tidak memberikan kekayaan seperti ini kepada sesuatu kaum, melainkan sesudah itu ditimpakan pula dengan permusuhan dan kebencian sesame mereka.

Memelihara perpaduan memang sukar dan lebih sukar lagi memadukan semula yang sudah pecah. Demikianlah kalau sudah tiada lagi sikap saling percaya di kalangan umat.

Bagaimana mungkin kita mengharapkan berlakunya pertemuan, perundingan dan perdamaian yang tulen kalau di lubuk hati masing-masing tersimpan rasa tidak percaya kepada pihak lain. Kerana itulah langkah ke arah mewujudkan perpaduan harus juga bermula dengan usaha menumbuhkan sikap saling percaya di kalangan sesama umat.

Tetapi ini juga tidak mudah kerana percaya kepada seseorang atau sesuatu pihak harus berlaku secara tabii, tidak dapat dipaksa-paksa.

Kenapakah sikap saling percaya di kalangan umat menjadi semakin luntur? Mungkin kerana berkacap bohong telah mulai membudaya. Kita sudah mulai menerima pembohongan sebagai hal yang biasa. Di mana-mana, hampir semua sektor berlaku pembohongan kerana kadang-kadang berbohong dan berpura-pura sudah dianggap suatu keperluan demi survival.

Berbohong sebagai keperluan turut mewarnai budaya politik yang sudah kehilangan etika sehingga terkenallah ungkapan, “it is thought that by necessities of his profession a soldier must kill and politician lie” (…. kerana memenuhi kehendak ikhtisas seseorang tentera harus membunuh dan ahli politik harus berbohong). Demikianlah budaya orang-orang politik di negara-negara maju dengan segala penyimpangan dan kebejatan yang sudah dianggap sebagai necessary evils.

Dunia akademik juga sebenarnya tidak terkecuali dari landaan budaya bohong. Dalam tamadun Islam sendiri ada istilah ulama su’ (ulama jahat) yang tentu sahaja tidak cuma istilah tetapi pasti ada realitinya.

Di Barat, Julien Benda pernah menulis buku berjudul “The Betrayal of the Intellectuals”, yang mendedahkan skandal pengkhianatan kaum intelektual Perancis awal abad lalu apabila mereka menyembunyikan kebenaran moral dan fakta demi kepentingan diri dan memenuhi kehendak penguasa politik. Demikian juga dengan Prof. Dr. Hamka yang pernah merakamkan kekecewaannya terhadap segolongan intelektual di bawah Soekarno yang disebutnya telah “mengilmiahkan kebohongan-kebohongan”.

Andainya budaya bohong seperti itu sampai menyerap ke dalam masyarakat kita, akan bertambah sukarlah tugas memulihkan sikap saling percaya dan akan bertambah sulitlah usaha membina perpaduan.

Mudah-mudahan kita masih punya kekuatan untuk menyuburkan amalan berkata benar yang memang sangat ditekankan oleh Islam. Berbohong adalah kesalahan yang sangat serius sehingga disenaraikan sebagai salah satu (ayat al-munafiq) tanda orang munafiq di samping tanda-tanda lain iaitu mungkin janji dan mengkhianati amanah.

Masyarakat Islam adalah masyarakat pengamal budaya berkata benar sehingga semua berita pada prinsipnya dapat dipercayai, kecuali berita yang bersumber orang fasiq sahaja yang perlu dipastikan dahulu kesahihannya, sedang yang lain boleh diterima sebagai benar berasaskan asumsi bahawa orang yang beriman tidak berbohong.

Demikianlah realiti masyarakat Islam yang masih murni. Tetapi dalam masyarakat yang telah mengalami pencemaran moral dan budaya semua berita tanpa kecuali tampaknya memerlukan kepastian. Yang benar dan palsu sudah berbaur sedemikian rupa sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan dan kebingungan.

Apalah ertinya kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi jika maklumatnya tidak dapat dipercayai? Apalah gunanya kecanggihan multimedia kalau hanya untuk dijadikan senjata perang propaganda memutar-belitkan fakta atau alat fitnah yang memecah-belah.

Kita harus memanfaatkan komunikasi sebagai alat memupuk sikap saling percaya sekali gus alat menjana perpaduan ummah. Untuk itu, teknologi ini perlu diberikan landasan moral yang kuat-kebenaran, amanah, kesopanan dan lain-lainnya. Tanpa landasan moral keagamaan, teknologi akan menghancurkan manusia sendiri.

Antara dampak sosial yang paling ketara dari transformasi keislaman ialah terbentuknya masyarakat penyayang yang didasari nilai persaudaraan seagama sebagaimana yang digariskan dalam hujah surah al-Hujurat:


“Sesungguhnya orang-orang mu’min itu bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara-saudara kamu”.

Dalam sejarah umat Islam semangat persaudaraan seagama inilah yang telah berjaya mencairkan fanatik puak dan mengakhiri sengketa antara suku sebagaimana yang berlaku kepada kaum ‘Aws dan Khazraj di Madinah pada zaman awal Islam. Nikmat persaudaraan ta’lif al-qulub, itulah yang diisyaratkan dalam ayat:

“…dan ingatlah akan nikmay Allah kepada kamu ketika dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang yang bersaudara”. (Surah Ali’Imran: 103).

Persaudaraan adalah nikmat Tuhan yang wajib dipelihara dan disyukuri. Dengan demikian, tidak menghargai persaudaraan bererti “kufur nikmat” atau tidak mensyukuri nikmat. Kerana itu perbezaan persepsi, perbezaan pendekatan atau perbezaan ideologi politik tidak seharusnya sampai mengorbankan persaudaraan.

Alangkah indahnya contoh semangat persaudaraan yang diperlihatkan oleh Bapak Muhammad Natsir, pemimpin Parti Islam Masyumi Indonesia. Ketika mengenang hubungannya dengan Soekarno yang merupakan musuh utama politiknya, beliau menyebut peristiwa-peristiwa yang amat mengharukan. Katanya:

“Orang bisa berbeda pendapat dan bahkan berbeda 180 darajat. Tapi masih dapat berkomunikasi secara terbuka. Bahkan pada saat Bung Karno ditahan di penjara oleh pemerintah penjajah, kamilah (dari Persis) yang pertama-tama menjenguknya: bukan keluarganya atau teman-temannya.


Kami membawa oleh-oleh sekadarnya dan yang penting kami memberikan support moril. Saya teringat pada waktu itu, Bung Karno begitu terharu. Hal sedemikian ini rasanya sulit kita jumpai pada zaman sekarang ini.

Apalagi di dunia politik, perbedaan sedikit sahaja seolah-olah sudah merupakan “permusuhan besar”, atau apa itu dalam bahasa Jawa, “musuh bebuyutan”. Tidak mau komunikasi, tidak mau ketemu, apabila berdialog. Masih pendewasaan dalam cara kita berpolitik”.

Kesimpulan Muhammad Natsir bahawa umat memerlukan “pendewasaan” dalam amalan berpolitik rasanya memang tepat sekali. Akibat dalam amalan berpolitik rasanya memang tepat sekali. Akibat ketidakdewasaan itulah banyak hal yang ironis dalam politik.
Dari satu segi politik dapat menyatukan pelbagai unsur yang saling bertentangan, tetapi politik juga boleh membelah sebuah keluarga yang sedarah sedaging.

Musyawarah ialah perintah agama yang wajib diamalkan. Amalan bermusyawarah yang bererti “people participation”, kesediaan mendengar pendapat pelbagai pihak dan menghormati pendapat yang berbeza akan dapat menumbuhkan rasa kebersamaan dan saling harga-menghargai di kalangan umat.


Dalam kaitan ini, perlu pula dicatatkan bahawa amalan bermusyawarah tidak mungkin berkembang dalam suasana wujudnya kebebasan bersuara dan keberanian berbeza. Dalam tradisi musyawarah, tidak ada tempat untuk sikap memonopoli kebenaran.

Memang masing-masing punya hak untuk merasa dirinya benar, tetapi ia tidak berhak memutlakkannya dengan menolak sama sekali kemungkinan ia salah.

Para imam mujtahidin yang berbeza pendapat dalam pelbagai isu tidak pernah memperlihatkan sikap memutlakkan kebenaran pendapat sendiri.

Sikap mereka dalam isu-isu yang diperselisihkan diabadikan dalam ungkapan “pendapatku benar, tetapi mungkin salah; pendapat yang lain salah, tetapi mungkin benar”.

Memang amalan musyawarah selamanya membawa risiko perbezaan. Tetapi perbezaan menjadi rahmat selama ia terkawal dalam aturan main adab ikhtilaf (adab berbeza pendapat). Masyarakat berbudaya musyawarah bukanlah sebuah masyarakat hingar-bingar tanpa atuaran.

Masyarakat Islam adalah masyarakat yang dicirikan oleh kehalusan budi dan tahu diri. Dengan kawalan etika falyaqul aw-liyasmut (bicara yang baik atau diam) orang hanya akan bersuara kalau perlu dan dengan cara yang baik.

Kesederhanaan atau wasatiyyah adalah sifat dan ciri khas Islam. Sifat ini seharusnya tercermin dalam watak, sikap dan perilaku umat. Masyarakat Islam akan menjadi lebih damai dan harmoni seandainya aliran sederhanan menjadi arus perdana keadaan akan menjadi lebih tegang.


Unsur-unsur aliran “hardliners” memang ada dan akan selamanya ada di mana-mana. Yang penting ia harus dikawal agar jangan sampai menjadi arus perdana.

Untuk memungkinkan berlakunya dialog yang sihat dan penuh semangat keterbukaan dan tolak ansur aliran sederhana harus didominankan di segala sektor pertubuhan dan parti politik.


Dalam tradisi masyarakat Islam, kedua-dua golongan ini – ulama (ilmuwan) dan umara’ (pemerintah) mempunyai peranan yang sangat menentukan. Hadith nabi s.a.w menyebut dua kategori manusia, apabila kedua-duanya baik, baiklah masyarakat dan apabila kedua-duanya rosak, rosaklah masyarakat: ulama dan umara’ (dari ibni Abbas r.a).
Demikianlah, kesejahteraan rakyat sangat tergantung kepada kualiti kedua-dua golongan tersebut-ulama yang beramanah dan pemerintah yang adil. Bertuahlah umat yang memiliki kedua-dua faktor ulama-umara’ yang tergembleng dalam kesepakatan dan persefahaman yang akrab.

Al-Qur’an membawakan contoh-contoh kerjasama erat pemerintah dan ilmuwan menerusi kisah pemerintahan Nabi Sulayman a.s. dan juga pemerintahan Ratu Balqis. Sejarah Islam juga banyak merakamkan kerjasama seperti itu di antara para khalifah dan ulama-ulamanya.

Tetapi sejarah juga meninggalkan catatan-catatan hitam dalam hubungan ulama-umara’ seperti catatan tentang penderaaan yang dilakukan oleh pemerintah terhadap para Imam Abu Hanifah, Ahmad Ibn Hanbal dan Ibn Taymiyyah (r.a.a).

Keadaan inilah yang harus dihindari. Andainya pemerintah dan ulama mengambil posisi berseberangan, umat pasti pecah.
Sebagai pemegang amanah keilmuan, ulama memikul tanggungjawab menasihati pemerintah, mengingatkan bahawa kuasa adalah amanah, dan pada waktu yang sama, mereka juga harus mendidik ummah.

Teguran dan pandangan konstruktif yang disampaikan dengan tertib dan jujur harus diterima dengan sikap lapang dada. Keadaan inilah yang harus dihindari. Andainya pemerintah dan ulama’ mengambil posisi berseberangan, umat pasti pecah.

Sebagai pemegang amanah keilmuan, ulama memikul tanggungjawab menasihati pemerintah, mengingatkan bahawa kuasa adalah amanah, dan pada waktu yang sama, mereka juga harus mendidik ummah.

Teguran dan pandangan konstruktif yang disampaikan dengan tertib dan jujur harus diterima dengan sikap lapang dada. Itu lebih baik dari bersikap prasangka atau meminggirkan ulama dan ilmuwan.

Tanggungjawab mendidik dan mencerdaskan umat harus pula dilaksanakan agar tahu hak dan tanggungjawab mereka. Umat perlu dibimbing menghayati Islam secara utuh dan seimbang (‘aqidah, syari’ah dan akhlaq) sehingga terpeliharanya habl mina ‘Llah dan habl mina ‘nas, hubungan vertical (dengan Allah) dan hubungan horizontal (antara sesama manusia).

Kualiti umat harus terus ditingkatkan kerana umat yang berkualiti, dan demikian pulalah sebaliknya. Tidak mungkin kita memperbaiki pemerintah tanpa memperbaiki umat kerana seperti yang disebut oleh Shaykh Muhammad al-Ghazaliy bahawa kualiti pemerintah pada hakikatnya adalah gambaran kualiti ummah.

Artikel ini pernah diterbitkan dalam majalah risalah keluaran Ogos-September 2002.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo