
KENYATAAN MEDIA
ISU NETWORK SCHOOL: PERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA, PERKUKUH KESELAMATAN EKOSISTEM INOVASI NASIONAL
15 Julai 2026 I 30 Muharam 1448H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius isu Network School di Johor yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa susulan dakwaan penglibatan individu yang mempunyai kaitan dengan Israel.
ABIM menyambut baik pendirian tegas kerajaan bahawa Malaysia tidak membenarkan kehadiran warga Israel di negara ini dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan dakwaan tersebut, sebagaimana ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri. Pendirian ini selaras dengan dasar luar Malaysia yang konsisten mempertahankan hak rakyat Palestin serta tidak mengiktiraf rejim zionis Israel.
ABIM turut menyokong usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional. Sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan kemudahan imigresen, penyembunyian identiti, pemberian maklumat palsu atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa kompromi.
Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai hak mutlak untuk menentukan syarat kemasukan ke negaranya. Semua individu dan entiti asing yang beroperasi di Malaysia wajib mematuhi undang-undang negara, menghormati dasar imigresen serta tidak bertindak dengan cara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan strategik negara.
Pada masa yang sama, ABIM berpandangan bahawa isu ini wajar dilihat melangkaui sebuah kes terpencil. Dalam era persaingan geopolitik, ekonomi digital dan mobiliti global, Malaysia perlu mengimbangi keterbukaan kepada pelaburan, bakat dan inovasi dengan keupayaan melindungi keselamatan negara. Sebuah negara yang progresif bukan sahaja mampu menarik pelaburan dan bakat global, malah mempunyai institusi yang cekap untuk mengurus risiko keselamatan yang hadir bersama keterbukaan tersebut. Inilah antara tuntutan sebuah Malaysia MADANI yang berteraskan tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang dan kepentingan negara.

Sehubungan itu, ABIM mencadangkan agar kerajaan menggubal Dasar Keselamatan Ekosistem Inovasi Nasional sebagai satu kerangka dasar yang mengimbangi keterbukaan Malaysia kepada pelaburan, bakat dan inovasi global dengan keperluan melindungi kedaulatan negara, keselamatan nasional dan kepentingan strategik Malaysia. Dasar ini wajar menetapkan piawaian yang lebih jelas berhubung saringan keselamatan, pengesahan identiti, tadbir urus serta pemantauan terhadap komuniti antarabangsa, hab teknologi dan platform inovasi yang melibatkan penyertaan warga asing.
ABIM percaya bahawa keterbukaan kepada dunia merupakan satu kekuatan Malaysia. Namun, keterbukaan tersebut hendaklah sentiasa disertai dengan amanah, kewaspadaan dan tanggungjawab bagi memastikan manfaat pembangunan tidak mengorbankan keselamatan negara. Pendekatan inilah yang akan membolehkan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang diyakini oleh pelabur, dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan pada masa yang sama teguh mempertahankan kedaulatan serta kepentingan nasional.
ABIM menyeru semua pihak agar menghormati proses siasatan dan mengelakkan sebarang spekulasi sehingga keputusan rasmi diumumkan. Biarlah tindakan diambil berasaskan fakta dan bukti, demi memastikan keadilan ditegakkan serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara.
‘Menegakkan Kebenaran dan Keadilan’
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
