Peruntukan Sekolah Swasta : ABIM Gesa Kerajaan Beri Perhatian Kepada Institusi Pendidikan Agama

July 27, 2018
editor-media

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada kenyataan YB Menteri Pendidikan berkaitan hasrat untuk memberikan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebagai sebahagian daripada bajet pembangunan kerajaan persekutuan. ABIM menggesa Kerajaan Pakatan Harapan membuat pertimbangan serius dalam membuat peruntukan tahunan dan layanan yang sama kepada sekolah swasta lain dalam pelan holistik kewangan negara, terutama dalam perbelanjaan pembangunan, yang mana banyak sekolah rendah/menengah agama/akademik yang lebih memerlukan. Mengikut data KPM, terdapat 300 buah sekolah swasta (selain Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Ekspatriat) dan lebih 600 buah insitusi pendidikan tahfiz berdaftar yang memerlukan perhatian sewajarnya. Kerajaan tidak seharusnya menidakkan bantuan kewangan kepada sekolah swasta termasuk Institusi Tahfiz dan sekolah agama rakyat, terutama yang menggunakan Kurikulum Kebangsaan, dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa perantara serta silibus yang selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Sekolah-sekolah swasta dan persendirian sebegini juga banyak menghantar pelajar menyambung pelajaran ke banyak institusi di peringkat antarabangsa, termasuk dalam jurusan berkaitan sains dan teknologi. ABIM juga mendesak agar HANYA sekolah yang menepati ciri seiring Dasar Pendidikan Kebangsaan dan dasar Kerajaan sedia ada yang wajar diberi keutamaan untuk pengiktirafan dan peruntukan tahunan. Ini sekali gus dapat mengangkat martabat pendidikan kebangsaan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan seterusnya mengiktiraf institusi pendidikan yang turut sama membangunkan negara dalam sektor pendidikan pelbagai bidang (keagamaan, akademik, pendidikan khas, pendidikan karakter dan sebagainya). Atas kesempatan ini, kerajaan juga boleh menyelaraskan semula insitusi yang patuh kepada sistem dan dasar pendidikan kebangsaan, dan dapat meningkatkan pendaftaran kepada institusi yang masih belum berdaftar. Mohamad Raimi Ab Rahim Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo