ABIM Gesa Hentikan Projek Kewarganegaraan Di Wilayah Assam, India - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM Gesa Hentikan Projek Kewarganegaraan Di Wilayah Assam, India

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada projek National Register of Citizens (NRC) yang dilaporkan sedang berlaku di wilayah Assam, India, yang bertujuan untuk menyisihkan kelompok tertentu daripada status sebagai warganegara yang sah kerana mereka kononnya dikategori kan sebagai “undocumented immigrant”.

ABIM melihat operasi besar-besaran ini yang digerakkan kerajaan wilayah Assam yang dikuasai parti Bharatiya Janata Party (BJP), sebagai usaha terancang untuk menyingkirkan sebilangan penduduk beragama Islam yang mendiami wilayah tersebut walaupun sememangnya mereka adalah warganegara India. ABIM merujuk kepada laporan oleh empat anggota Special Rapporteurs Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB, yang antara lain turut mempersoalkan kriteria yang digunakan dalam proses tersebut.

ABIM khuatir proses ini akan mengeluarkan penduduk Muslim yang sememangnya berasal dari wilayah tersebut dari India atas alasan mereka bukan warganegara India yang sah. Ini termasuklah proses yang sengaja menyusahkan penduduk Islam serta kelompok etnik Benggali untuk mengesahkan kewarganegaraan mereka. Pelbagai pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa seperti Amnesty International dan Human Rights Watch telah menyuarakan kebimbangan berkenaan projek NRC tersebut.

Bahkan badan-badan tersebut turut menjangkakan lebih empat juta warga Muslim di wilayah berkenaan akan menjadi “stateless”. Ini sekaligus akan mencetuskan satu lagi krisis kemanusiaan yang akan mengakibatkan lambakan pelarian secara besar-besaran membanjiri negara sekitar Bangladesh sehingga ke Asia Tenggara termasuk Malaysia kelak.

Justeru, ABIM menggesa masyarakat antarabangsa dan secara khusus kerajaan Malaysia membantah usaha tersebut dengan mendesak kerajaan India untuk mengarahkan kerajaan wilayah Assam menghentikan samasekali projek NRC ini kerana ia bakal mencetuskan krisis kemanusiaan pada peringkat global.

*Mohamad Raimi Ab. Rahim,* *Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).*