ABIM Promosikan Sukan & Gaya Hidup Sihat

December 3, 2021
editor@abim

ABIM PROMOSIKAN SUKAN SERTA GAYA HIDUP SIHAT 

Sebagai sebuah badan masyarakat madani (CSO) yang berteraskan anak muda, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut menjadikan sukan sebagai antara agenda pemersatu yang dapat menyemai perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama, disulami semangat kesukanan yang harmoni, bebas dari unsur hooliganisme.

Untuk rekod, dalam manual “Membudayakan 10 Gaya Hidup SIHAT” terbitan tahun 2005 oleh ABIM Johor, telah ditekankan berkenaan kepentingan membentuk budaya amalan harian dalam kalangan generasi muda, dan juga masyarakat ke arah kehidupan yang berkualiti, sejajar dengan ajaran Islam supaya kita sihat sepanjang hayat.

Sihat yang dimaksudkan di sini mencakupi aspek pemikiran, kerohanian, fizikal dan emosi; ke arah pembangunan kualiti diri, keluarga dan masyarakat. Konsep ini juga telah dimodulkan dalam bentuk program, bengkel dan ceramah. Sepanjang September hingga Disember 2021, pelbagai program sukan santai dianjurkan oleh ABIM cawangan seluruh negara.

Pada 11hb Disember 2021 (Sabtu), satu program ‘Santai Memancing’ diadakan buat julung kalinya di Santai Damai, Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah.

Bertempat di Santai Damai, Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah, pendaftaran boleh dibuat di sini: https://forms.gle/bNUVNjUCZxYZ6rZe9. Program ini adalah anjuran ABIM Kuala Muda & ASPIRASI Peduli Ummah dengan kerjasama Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok.

Pada 4-5hb Disember 2021 (Sabtu dan Ahad), buat julung kalinya ABIM Selangor menganjurkan perkhemahan khusus buat para aktivis lelaki ABIM. Tujuannya untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah Subhanahu wa-Ta’ala serta pembentukan ukhuwah dalam kalangan kalangan ahli ABIM Selangor serta PEPIAS.

Berlangsung di Kem Anugerah Alam Batangsi, Semenyih, antara pengisian menarik adalah belajar memasak sendiri, memanjat gunung, menangkap ikan, qiamullail, dan riadah di sungai. Syukur, jaulah mencari ibrah di belantara.

Pada 4hb Disember 2021 (Sabtu), Pertandingan Boling Muhibbah ABIM Daerah Besut telah diadakan di Coral Crown Bowling, Paya Bunga Square, Terengganu. Program berlangsung dengan meriah dan penuh semangat kekeluargaan.

Pada 4hb Disember 2021 (Sabtu) juga, HELWA ABIM Ampang mengadakan Program Bowling Bersama HELWA. Program berlangsung di Wangsa Bowl, Wangsa Walk Mall, pada jam 2 petang – 4 petang.

Pada 2hb Disember 2021, ABIM Bangi dan PEPIAS Bangi turun berfutsal dengan penuh semangat, bersama penyertaan seramai 35 orang aktivis.

Alhamdulillah, pada 28hb November 2021, Sdra. Zairudin Hashim (Naib Presiden ABIM) tampil dalam Program Planet Sukan di RTM, menerusi aplikasi Google Meet. Beliau menyentuh tentang perkembangan positif sukan ragbi dan hoki negara, yang sudah tiba masanya diberikan lampu limpah dan dana yang selayaknya.

Terdahulu, pada 30hb Oktober 2019, kru produksi Planet Sukan pernah hadir membuat rakaman di Sekretariat ABIM Pusat, Taman Cemerlang, Gombak.

Khabarnya Planet Sukan bakal melabuhkan tirainya, tatkala sangat sedikit program sukan di saluran TV yang percuma. Apa pun, itulah lumrah hidup. Ada pasang, pasti ada surutnya. Ada mula pasti ada pengakhirannya. Selamat maju jaya buat seluruh tim produksi Planet Sukan yang berjasa.

Pada 28hb November 2021 juga, pimpinan ABIM Perak dan Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) bersama para pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak dan Belia Kampung Tasek menggerakkan program Hiking @ Bukit Bangkong yang diadakan bersempena Sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Perak tahun 2021.

Pada tanggal 21hb November 2021, ABIM Besut, Gayong Malaysia Kebangsaan, Majlis Belia Daerah Besut, dan Kementerian Belia & Sukan telah menganjurkan latihan serta demonstrasi Silat di Kota Putera Square, Besut. Sesiapa di sekitar Besut yang berminat untuk belajar seni bela mempertahankan diri, boleh buat pendaftaran melalui pautan ini: https://forms.gle/5phpTToSbzr1j9PZ6

Pada 12hb November 2021, ABIM Bangi dan PEPIAS Bangi turun bersukan lagi, dengan penyertaan 20 orang aktivis yang menghadiri aktiviti sukan badminton kali ini.

Terdahulu, pada 30hb Oktober 2021, ABIM Bangi dan PEPIAS Bangi turut bermain futsal, dengan seramai 20 orang yang hadir bersama sama beriadah kali ini.

Pada 23hb Oktober 2021, dengan semangat gaya hidup sihat, ABIM Bangi dan PEPIAS Bangi turun bersukan. Seramai 17 orang yang menghadiri aktiviti sukan badminton kali ini.

Sementara itu, pada 19hb Oktober 2021 pula, sempena cuti Maulidur Rasul, ABIM Bangi merapatkan ukhuwah sesama ahli keluarga dengan mengadakan aktiviti sukan badminton di Bangi Convention Centre (BCC).

Pada 16hb Oktober 2021, bersempena dengan Hari Sukan Negara, ABIM Kelantan telah menganjurkan Futsal Belia bersama PKPIM Kelantan, Briged Bakti dan Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan, bertempat di Gelanggang Orbit Futsal Kampung Tiong, Kota Bharu.

Sementelah, pada 29hb September 2021, riadah santai telah dijalankan sewaktu Usrah Riadah ABIM Bangi.

Moga Allah subhanahu wa-Ta’ala mengurniakan kepada kita nikmat kesihatan berpanjangan supaya mudah kita beribadah kepadanya. Penganjuran aktiviti-aktiviti sukan ini sekali gus menarik minat lebih ramai anak muda dan belia untuk terlibat sama dalam membudayakan gaya hidup sihat. Bersukan juga suatu aktiviti yang dituntut dalam Islam dalam menjaga hal berkaitan kesihatan fizikal dan mental tubuh manusia.

Semoga kelonggaran SOP bersukan ketika musim COVID-19 ini dimanfaatkan sepenuhnya agar belia aktif bukan sahaja dalam bidang sukan namun juga bidang lain bagi mengangkat semangat belia berjaya

Juga, moga ikatan ukhuwah bertambah erat antara satu sama lain dan membudayakan kehidupan yang sihat.

Kenali dan sertai ABIM di sini: https://abim.contactin.bio

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR