Adakah Memakai Jubah Itu Arabisasi?

September 9, 2021
editor@abim

Syekh Abdullah Fahim rahimahullah (meninggal dunia pada 1961M), alim Melayu. Beliau mengenakan busana yang kalaulah dilihat segelintir orang pada zaman kita ini, akan digelarnya sebagai kearaban.

Bisht (jubah luar) warna cerah di luar, membaluti jasad beliau yang mulia. Kepala beliau bersarung serban bulat, kebiasaan para ulama’ Mekah pada zamannya (lilitan serban itu pada hari ini dikenal sebagai Makkawi).

Saya tidak melihatnya sebagai Arab. Saya melihatnya sebagai tabadul tsaqafah/cultural exchange. Sudah tentulah beliau sebagai murid kepada para ulama’ di Mekah, bahkan lahir dan membesar di Mekah, akan membawa cara berpakaian ini ke mana saja beliau berada.

Pakaian ‘arab’ itu tidak pun mengurangkan kemelayuannya, bahkan, beliaulah yang telah terlibat secara langsung dalam penetapan tarikh kemerdekaan Malaya/Persekutuan Tanah Melayu pada 31hb Ogos 1957.

Bahkan saya kira, kita berasa terhubung sebagai satu umat Islam, melalui busana ‘arab’ ini, sama seperti kita rasa bersatu kerana bahasa Arab. Tidak perlulah kita rasa janggal kenapa para ustaz kita, dan para anak muridnya suka pakai jubah dan serban.

Semua juga mengerti, pakaian (jubah, serban) tidak menjamin ketaqwaan, tetapi menyuburkannya. Misalnya, dikenakannya, kerana cinta kepada guru, cinta kepada Nabi (kerana Baginda memakai serban lilit), atau berminat meniru kebiasaan orang-orang baik.

Kenapa dilarang perkara yang baik, seakan-akan melakukan satu benda yang salah pula?

Pun begitu. memang ada stigma dalam segelintir kalangan penggemar jubah dan serban ini, melihat orang-orang yang tidak berjubah beserban seperti mereka sebagai kurang agama atau tidak tsiqah. stigma inipun harus dirawat. Pakaian tidak menjamin ketaqwaan.

Cara yang terbaik ialah besederhana dalam isu pakaian dan budaya ini. Saya melihatnya sebagai satu perkara yang positif dan perlu diperhalusi sebelum ditentang.

Pilih pakaian yang menutup aurat, yang boleh membawa kepada redha Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

* Perkongsian daripada al-Fadhil Ustaz Syafiq Ismail at-Tauhidi, Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat.

#ABIMdiHatiku #SebarkanSalam

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR