Beri Peluang Pramugari Untuk Bertudung & Menutup Aurat

August 13, 2018
editor-media

HELWA ABIM ingin menggesa pihak pengurusan Malaysian Airlines Berhad (MAB) yang merupakan syarikat penerbangan Malaysia yang utama agar memberi opsyen kepada pramugari untuk memilih berpakaian menutup aurat dan bertudung sewaktu bertugas sebagai staf kabin. Hal ini bukanlah sesuatu yang janggal mahupun ketinggalan zaman bagi sebuah negara Islam memandangkan syarikat penerbangan gergasi di peringkat antarabangsa seperti British Airways telahpun mempunyai polisi yang membenarkan pekerja kabin bertudung.

Maka dengan ini HELWA ABIM ingin mencadangkan agar MAB memperkenalkan polisi pemakaian mesra wanita Islam yang jelas. Pihak MAB perlu memberi ruang kepada staf kabin, selain staf pejabat (ground staff) untuk bertudung malah mempunyai hak dan pilihan untuk memakai pakaian seragam yang selesa dan sesuai dengan imej wanita Islam ketika bertugas. Sebarang bentuk diskriminasi terhadap pekerja wanita beragama Islam di tempat kerja adalah tidak boleh diterima sama sekali. HELWA ABIM menyifatkan isu pemakaian tudung ketika bertugas ini telah lama berterusan dan perlu diselesaikan dengan segera. Ia bukan hanya isu agama dan maslahah di tempat kerja malah HELWA ABIM berpandangan hak-hak pekerja wanita Muslim wajar diambil berat dan tidak dipandang enteng. Antara faktor kejayaan syarikat penerbangan terkemuka dunia adalah kerana pengalaman yang mantap dalam diversiti jaringan penerbangan serta jaminan kualiti dan tahap keselamatan kapal terbang pada tahap yang paling baik. Maka MAB seharusnya boleh melaksanakan polisi pemakaian yang mengangkat martabat pekerja wanita Islam yang tidak memberi kesan kepada untung rugi industri penerbangan.

NOR AZURA BINTI KAMARUDIN SOHAMI, NAIB PRESIDEN ABIM (HELWA).

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR