Campurtangan Vatican Mengenai Ketua Biskop Katholik Malaysia: ABIM Gesa Malaysia Putuskan Hubungan Dengan Vatican - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Campurtangan Vatican Mengenai Ketua Biskop Katholik Malaysia: ABIM Gesa Malaysia Putuskan Hubungan Dengan Vatican

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat laporan mengenai perlantikan Ketua Biskop baru untuk Gereja Katholik di Malaysia. Perlantikan itu merupakan susulan daripada perletakan jawatan Ketua Biskop terdahulu, Tan Sri Murphy Pakiam. 

Menurut laporan tersebut, Vatican dinyatakan mahukan seorang Ketua Biskop yang lebih tegas dilantik untuk memperjuangkan kes (penggunaan) Kalimah Allah di kalangan masyarakat Katholik di negara ini.

ABIM menilai situasi ini seakan-akan ingin mencetuskan kegusaran yang boleh mengakibatkan konflik antara masyarakat Islam serta Katholik di negara ini. Sekiranya Ketua Biskop yang lantang serta agresif dipilih (sepertimana yang dikehendaki Vatican), ia kaan mencetuskan pertembungan tajam di antara pihak terbabit. 

Justeru, ABIM memandang berat campur tangan serta penglibatan secara langsung Vatican dalam perlantikan Ketua Biskop di Malaysia. Sikap Vatican dalam kes ini amat dikesali, kerana ia samasekali tidak menghormati sensitiviti di kalangan masyarakat Islam di negara ini. 

Berdasarkan kepada kenyataan ini, ABIM menggesa sebarang hubungan diplomatik antara Malaysia serta Vatican ditamatkan serta merta. 

Amidi Abd Manan,
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)