COVID 19: ABIM Gesa Kerajaan Segera Bantu Rakyat Yang Terjejas.

March 17, 2020
editor-media

KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
16 MAC 2020 / 21 REJAB 1441 H

COVID 19 : ABIM GESA KELONGGARAN POLISI KEWANGAN UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat penularan wabak penyakit Coronavirus atau Covid-19 yang hari ini telah mencatat jumlah 553 pesakit. Berdasarkan kepada kenyataan terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa situasi Malaysia sekarang telah naik ke tahap ‘late containment’ atau pencegahan lewat yang menjustifikasikan kegusaran rakyat Malaysia.

Hal ini telah membawa kepada terjejasnya beberapa sektor penting negara seperti perkhidmatan dan pelancongan seperti pramugari, yang mengakibatkan kebajikan para pekerja terjejas.

Bulan ini saja kita telah menyaksikan ramai pekerja yang telah diminta untuk bercuti tanpa gaji malah ada yang ditamatkan kontrak pekerjaan ekoran kerugian yang dialami dalam sektor perniagaan yang dinyatakan.

Justeru, ini pastinya telah menjejaskan pendapatan pekerja khususnya anak muda yang membanting tulang untuk menyara kehidupan diri dan keluarga. Maka, ABIM menggesa agar pihak kerajaan dapat meluaskan sasaran penerima program seperti Bantuan Sara Hidup kepada pihak-pihak yang terjejas.

 

ABIM juga menggesa pihak kerajaan untuk melonggarkan syarat pengeluaran akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kadar yang munasabah khusus buat mereka yang terjejas pendapatannya ekoran situasi semasa ini.

Dalam pada itu, satu insentif khas kepada anak muda yang bekerja sendiri yang majoritinya bergiat dalam merancakkan sektor “gig economy” harus diberikan sebagai ‘safety net’ buat mereka dalam mengharungi permasalahan ekonomi semasa. Insentif khas ini merupakan langkah yang amat baik dalam menghargai mereka bagi membangunkan ekonomi gaya baharu seiring dengan perkembangan pesat sektor tersebut di seluruh dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM juga menggesa mana-mana pihak khususnya pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap senario pembelian panik atau “panic buying” dalam kalangan rakyat.

Pihak Kementerian berkaitan juga harus memastikan stok barangan sentiasa mencukupi dan dijual di pasaran dengan harga yang berpatutan dan diukur atas dasar kepentingan rakyat, dan bukan konsep “Pembekalan & Permintaan” semata-mata.

ABIM juga menggesa semua pihak untuk sentiasa mengikut nasihat KKM dalam memastikan penularan wabak ini dapat diatasi segera

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR