Dasar Had Umur Belia Yang Berubah-Ubah Mengganggu Kestabilan Pertubuhan Belia Untuk Jangka Masa Panjang - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Dasar Had Umur Belia Yang Berubah-Ubah Mengganggu Kestabilan Pertubuhan Belia Untuk Jangka Masa Panjang

Kenyataan Media
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
23 November 2021 / 18 Rabiul Akhir 1443 H

DASAR HAD UMUR BELIA YANG BERUBAH-UBAH MENGGANGGU KESTABILAN PERTUBUHAN BELIA UNTUK JANGKA MASA PANJANG

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, yang mengumumkan perlaksanaan had umur bawah 30 tahun untuk pertubuhan-pertubuhan belia menerusi sidang parlimen baru-baru ini.

ABIM tetap berpandangan bahawa perlaksanaan had umur ini dibuat secara tergesa-gesa tanpa dimuktamadkan kaedah perlaksanaan secara pendaratan landai (soft landing) bersama konsultasi yang baik dengan pertubuhan-pertubuhan belia selaku pemegang taruh utama yang memimpin belia membangunkan masyarakat di akar umbi sejak sekian lama.

Bantahan ini bukan perkara baru kerana ia telah disuarakan semenjak ia diluluskan pada 2019, walaupun pada awalnya diumumkan had umur ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai umur bawah 35 tahun semasa sambutan Hari Belia Negara 2019 oleh Menteri Belia & Sukan ketika itu.

ABIM berpandangan, membuat pindaan dengan pendaratan secara landai (soft landing) bermula umur 35 tahun setidaknya membolehkan pertubuhan-pertubuhan belia yang baharu ditubuhkan seperti Majlis Belia Tahfiz dan Majlis Belia OKU membina tapak serta akar umbinya untuk mewakili segmen golongan belia yang berkenaan.

Sebaliknya perubahan secara drastik akan menjejaskan operasi pertubuhan-pertubuhan belia termasuk dalam pengurusan institusi serta aset-aset. Ini memerlukan komitmen yang rencam dan umur 35 tahun ini dilihat realistik dengan mengambil kira demografik petugas-petugas belia yang berkhidmat secara sepenuh masa menggerakkan pertubuhan di seluruh negara, berbanding belia bawah 30 tahun yang masih dalam fasa membina kerjaya, keluarga dan kehidupan.

Selain itu, ABIM menegaskan penetapan had umur secara tergesa-gesa bukan sahaja mematikan aktivisme belia. Bahkan ia akan memberi kesan kepada proses pembinaan negara itu sendiri. Sewajarnya aktivisme pergerakan belia yang sudah lama digerakkan pertubuhan-pertubuhan dihormati dan ditempatkan suaranya pada tempat yang sepatutnya berdasarkan pada pencapaian dan sumbangan yang lalu.

Maka, sekiranya pihak Kementerian ingin meneruskan penguatkuasaan had umur belia bawah 30 tahun, ABIM menggesa agar pertubuhan-pertubuhan belia sedia ada diberi pilihan untuk terus bergerak tanpa terikat dengan had umur di bawah pendaftar pertubuhan belia (ROY), sebaliknya diberi keizinan untuk berpindah ke pendaftar pertubuhan (ROS) dengan mengekalkan akronim yang sama.

Gesaan ABIM ini adalah atas faktor kekhuatiran akan kemungkinan had umur belia akan sentiasa berubah-ubah pada masa akan datang yang akan mengakibatkan ketidakstabilan kepada pertubuhan belia ini untuk berfungsi dengan lestari.

Maka, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu berperanan untuk membantu peralihan pertubuhan belia berkenaan kepada platform pendaftar pertubuhan (ROS) tanpa mengubah nama akronim pertubuhan sedia ataupun mewujudkah mekanisme yang sesuai untuk pertubuhan belia sedia terus bergerak tanpa dibayangi dengan keterbatasan had umur.

ABIM menegaskan kenyataan ini perlu diberi perhatian dengan penuh tanggungjawab demi meneruskan kelestarian aktivisme belia yang bermula semenjak sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti