Dedah sejarah penduduk Islam Xinjiang, ABIM rancang Road Tour Seluruh Negara

July 10, 2014
editor

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan keprihatinan terhadap perintah larangan berpuasa yang dikenakan terhadap umat Islam dari etnik Uyghur di daerah Xinjiang, China. Larangan berpuasa berkenaan dikeluarkan sebagai justifikasi bagi memelihara kesihatan dan produktiviti kerja sementara kakitangan kerajaan dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dilarang untuk hadir ke masjid untuk mendirikan solat jemaah selain larangan memakai tudung dan menyimpan janggut.

Naib Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata larangan dan sekatan terhadap kebebasan asasi untuk mengamalkan agama Islam di kalangan masyarakat Uyghur adalah tidak munasabah dan bercanggah dengan hak asasi mereka.

“Sebagai tanda solidariti, ABIM dengan kerjasama Kongres Uyghur Sedunia sebagai badan induk etnik Uyghur di peringkat global akan mula menggerakkan kempen penerangan kepada umat Islam di Malaysia terhadap sejarah dan perkembangan terkini ektnik berkenaan.

“ABIM yakin hanya melalui kempen penerangan dan informasi yang tepat terhadap masalah penderitaan Uyghur sahaja membolehkan rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa akan dapat membantu nasib etnik ini dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, kempen berkenaan akan bermula hari ini dengan kerjasama beberapa pertubuhan lain selain siri penerangan yang akan dilakukan di masjid dan surau. ABIM dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia (GPM) turut melancarkan Tabung Prihatin bagi membantu etnik Uyghur termasuk di seluruh dunia.

Sumbangan boleh dibuat atas nama Global Peace Mission, Bank Islam 14-023-01-002922-4 atau Maybank 5642-2161-1602. -NFN- 

Oleh: AFIX REDZUAN 

Sumber: Portal Selangorku

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR