Julai 2021: ABIM & Agensi sampaikan sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras ke seluruh negara - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Julai 2021: ABIM & Agensi sampaikan sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras ke seluruh negara

Julai 2021: ABIM & Agensi sampaikan sumbangan KSSB ke seluruh negara

Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini khususnya, para aktivis dan petugas lapangan ABIM Pusat, ABIM Negeri, ABIM Daerah serta Agensi di seluruh negara bertungkus-lumus ke banyak lokasi; memanjangkan amanah sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras (#KSSB) daripada rakyat Malaysia.

Dari ceruk pedalaman, kawasan perkampungan sehinggalah ke kawasan golongan miskin bandar, kami tetap berikhtiar menghulurkan bantuan, mesti terdapat pelbagai kekangan serta keterbatasan.

Menerusi kerjasama dengan antara lain Zak Capital, Galeri Prima, MBSB Bank, AIBIM, Projek Wawasan Rakyat (POWR), Projek Bangsa Malaysia (PBM), Projek 57, GPM, ADAB Youth Garage (AYG) dan sebagainya, sumbangan disampaikan demi membantu mereka yang memerlukan.

Penyampaian sumbangan turut diberikan kepada para wartawan dan pejuang #BarisanHadapan (jururawat dan doktor khususnya) – seperti gaun bedah (surgical gowns), pelitup muka, sarung tangan pakai buang (disposable gloves), dan makanan percuma.

Pada 2hb Julai 2021, ABIM Pusat bersama Persatuan Orang Buta Malaysia (POBM) telah menyampaikan agihan bantuan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) kepada 30 buah keluarga Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan, di Restoran Pak Ajan Ala Kampung, Sentul, Kuala Lumpur.

Pada 5hb Julai 2021, Global Peace Mission (GPM) Malaysia bersama ABIM Pusat dan Pertubuhan Buddhist Tzu Chi selesai menghantar 21 buah katil mudah katil mudah alih untuk kegunaan Bahagian Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL). HKL sangat memerlukan katil tersebut dengan kadar segera untuk menampung pesakit Covid-19 yang sangat ramai di ruangan yang terhad. Ada di antara pesakit Covid-19 terpaksa baring beralaskan lantai disebabkan katil yang tidak mencukupi.

Pada 7hb Julai 202, GPM dan ABIM Pusat ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang juga bagi penyerahan 30 buah katil mudah alih untuk Bahagian Kecemasan dan Trauma. Ketika itu, para suakrelawan dapat menyaksikan sendiri keadaan di HTAR yang sudah melimpah sehingga keluar.

Kalau di HKL masih ada ruang untuk diletakkan katil mudah alih dalam dewan hospital, tapi di HTAR, Klang hanya boleh diletakkan di luar dewan hospital disebabkan terlampau ramai pesakit Covid-19 dengan ruang yang terhad.

Pada 8hb Julai 2021 (Khamis) GPM dan ABIM Pusat dengan kerjasama Gabungan Perikatan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN), Yayasan Ikram Malaysia, Interactive Muslimah Association (IMAN) dan Yayasan Tzu Chi memberikan sumbangan alat wad kanak kanak kepada Hospital Selayang bagi membantu Malaysia kembali sihat.

Antara yang diserahkan adalah Infant Radiant Warmer (3 unit), Syringe Pumps (16 unit), Patients Cardiac Monitor (2 unit) dan Infant Ventilator di Hospital Selayang.

Pada 13hb Julai 2021, ABIM Pusat telah menyampaikan agihan sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Seramai 14 buah keluarga menerima manfaat daripada sumbangan ini.

Pada 26hb Julai 2021, ABIM Pusat telah menyampaikan agihan sumbangan KSSB di sekitar Gombak, Sungai Buloh dan Pandan. Seramai 18 buah keluarga menerima manfaat daripada sumbangan ini, yang disampaikan dengan kerjasama MBSB Bank serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Pada 13hb Julai 2021, telah berlangsung agihan KSSB oleh ABIM Pusat dan ABIM Selangor dengan kerjasama Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia – AIBIM dan Sekolah Kebangsaan Sri Damansara 3. Seramai 40 orang menerima manfaat daripada sumbangan ini. Terima kasih juga kepada pihak sekolah yang membantu dan memudahkan urusan pemberian sumbangan.

Pada 14hb Julai 2021, ABIM Selangor dengan kerjasama ABIM Pusat, AIBIM dan Surau Al-Syumul, Seksyen Satu Banda Rinching, Semenyih telah menyerahkan bantuan KSSB) kepada 60 buah keluarga di sekitar Bandar Rinching, Semenyih.

Pada 1hb Julai 2021, ADAB Youth garage (AYG) dan SALWA Malaysia telah menyumbang 3,000 botol Spray Wudhu dan 2,500 pelitup muka kepada pesakit Covid-19 di PKRC MAEPS. Dr. Shahabuddin, Pengarah PKRC walaupun dengan kesibukan beliau sudi menerima kedatangan AYG dan telah mengadakan sedikit perbincangan serta sangat menghargai sumbangan yang bermakna ini.

Pada 3hb Julai 2021, AYG telah memberi sumbangan kepada 15 buah rumah berbendera putih (tanda memerlukan bantuan) di sekitar Kampung Teras Jernang dan Kampung Sungai Ramal, Kajang. Media Al Jazeera English juga turut hadir untuk memberi liputan isu ini.

Pada 5hb Julai 2021, AYG menggerakkan Skuad Bendera Putih dan telah memberi sumbangan kepada 47 buah rumah sama ada berbendera putih mahupun tidak (hasil info dari komuniti dan pihak akar umbi) di sekitar Tajung Karang, Bandar Baru Bangi serta Semenyih.

Pada 17hb Julai 2021, AYG bergegas menghantar bantuan 13 buah item makanan kering bersama seekor ayam kepada setiap 20 buah keluarga sekitar Kajang yang terjejas. Moga membawa sedikit sinar kegembiraan buat mereka sekeluarga.

Pada 22hb Julai 2021, di Bandar Baru Bangi, Skuad Bendera Putih kelolaan AYG menggerakkan inisiatif mengagihkan kira-kira 1,200 kilogram daging lembu korban kepada 1,200 keluarga fakir miskin dan asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha menerusi Program Qurban Prihatin AYG. Agihan daging korban ini diagihkan ke 6 buah kawasan iaitu PPR Kota Damansara, PPR Hicom, Pangsapuri Desa Mentari, Pangsapuri Rimba Jaya, Tanjong Karang dan Bandar Baru Bangi.

Selain mengagihkan daging korban, AYG turut memberi sumbangan barangan memasak daging seperti bihun, rempah sup, sup bunjut, halia, bawang merah dan bawang putih. Bahan-bahan ini diagihkan sekali bagi memudahkan para penerima bantuan untuk memasak terus daging-daging tersebut kerana ada penerima yang tiada peti sejuk untuk menyimpan daging yang diterima. Sebanyak 13 ekor lembu telah ditumbangkan hasil sumbangan dan bahagian yang dambil oleh orang ramai. Sembelihan ini dilaksanakan di pusat sembelihan Alor Gajah, Melaka dengan megikut SOP yang telah ditetapkan.

Pada 24hb Julai 2021, sebanyak 100 set sumbangan pek makanan telah diagihkan AYG, Encik Paul Low (CEO Etiqa Life Insurance Berhad), Pengerusi KRT Blok 9 dan Pengerusi Persatuan Penduduk Blok 10 kepada mereka yang memerlukan di perumahan Flat Desa Mentari 2, Petaling Jaya dan Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi.

Pada 28hb Julai 2021, 6 buah jentera termasuk sebuah ‘cold bonded’ memuatkan 150 set bakul makanan termasuk ayam segar diserahkan AYG dan Encik Mas’od. (Ketua Kampung Sungai Kajang, Tanjung Karang), kepada mereka yang memerlukan di Tanjung Karang dan PPR Kota Damansara.

Pada 31hb Julai 2021 (Sabtu), Skuad Bendera Putih AYG meneruskan pelan edaran Bantuan Terputus Bekalan AYG – Etiqa, kali ini di Shah Alam. Sejumlah 50 set bakul makanan buat warga Pangsapuri Rimba Jaya dan 50 set bakul makanan buat warga PPR Kampung Baru HICOM menjadi misi kali ini. AYG disambut mesra oleh para penerima serta wakil penduduk. Walau penjarakan sosial diamalkan, keakraban terasa, senyuman yang tidak putus, gurauan dan perbualan seperti keluarga dan saling mendoakan. Suasana yang amat damai dihati. Mereka turut menzahirkan kegembiraan dan syukur atas agihan.

Pada 6hb Julai 2021, ABIM Pulau Pinang menggerakkan proses pengumpulan barang sumbangan dan bungkusan barangan asas ABIM Prihatin, bertujuan untuk serahan kepada yang memerlukan di sekitar Seberang Perai Selatan.

Pada 10hb Julai 2021, ABIM Pulau Pinang telah mengedarkan 46 buah kotak makanan dan beberapa kit wanita kepada mereka yang memerlukan di Bayan Lepas, Balik Pulau, Mt. Erskine, Ayer Itam, Jelutong dan Gelugor. Para penerima KSSB Edisi Covid-19 ini terdiri daripada golongan ibu tunggal, OKU, warga emas, sakit dan mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Pada 11hb Julai 2021 (Ahad), ABIM Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang mengedarkan sarapan pagi buat petugas-petugas KKM, Sukarelawan, APM dan RELA di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19, Dewan Serbaguna Jawi. Pimpinan ABIM Seberang Perai Selatan turut hadir bersama-sama para wakil Majlis Belia Daerah S.P.S, di mana serahan dibuat kepada penyelaras PPV Jawi, Sdra. Mohd Saiful Harun

Pada 14hb Julai 2021, Helwa ABIM Seberang Perai Selatan menyerahkan sumbangan kepada yang memerlukan berupa Feminine Care Box kepada mereka yang memerlukan yang terjejas dengan PKP di sekitar Sungai Bakap, Sungai Kechil dan Sungai Acheh.

Pada 18hb Julai 2021, ABIM Daerah Seberang Perai Utara dan ABIM Daerah Seberang Perai Tengah telah mengedarkan 44 buah kotak makanan kepada mereka yang memerlukan di sekitar Seberang Perai Utara, Bertam, Penaga, Butterworth, Seberang Perai Tengah dan Perai.

ABIM Pulau Pinang turut dibantu oleh sukarelawan PEMBIMBING untuk mengedarkan kotak makanan di Bayan Lepas. Para penerima KSSB Edisi Covid-19 ini terdiri daripada golongan ibu tunggal, OKU, warga emas, sakit dan mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Di Ipoh, Perak pada 5hb Julai 2021, Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) dan ABIM Perak mengagihkan barangan keperluan asas kepada 7 buah keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Agihan dilaksanakan di Klebang Restu, Bercham dan Batu 8, Tambun. Hasil dapatan maklumat, hampir keseluruhan penerima hilang punca pendapatan dan tidak dapat membeli barangan keperluan asas bagi kelansungan hidup.

Pada 10hb Julai 2021 (Sabtu), ABIM Perak menggerakkan #AidForTheNeedy di daerah Chemor melibatkan 15 buah keluarga, bersama wakil Masjid Nur Ain, Desa Chemor Impian.

Pada 15hb Julai 2021 (Khamis), ABIM Perak membuat persediaan sebelum pergerakan lanjut #AidForTheNeedy. Barang-barang kering didapatkan di Ariff Frozen manakala beras-beras daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu-Perak (MAIPk).

Pada 17hb Julai 2021, ABIM Perak bersama MAIPk dan KPIP menggerakkan misi bantuan prihatin di sekitar Taman Temara dan Station 18, bersama wakil Surau ar-Rahman.

Pada 25hb Julai 2021, KPIP bersama ABIM Perak dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perak menggerakkan program #MahasiswaPrihatin: Misi Bendera Putih kepada 30 buah keluarga di sekitar Batu Kurau.

Di Kelantan, satu program penyampaian sumbangan KSSB Edisi Aidil Adha telah berjaya diadakan di sekitar daerah Bachok pada 19-21hb Julai 2021. KSSB kali ini merupakan usahasama pihak GPM dan ABIM Bachok. Sumbangan KSSB ini merangkumi barangan dapur bagi meringankan beban seramai 10 buah keluarga penerima.

Pada 25hb Julai 2021, ABIM Pengkalan Chepa dan GPM menyantuni 9 buah keluarga ketika agihan KSSB Edisi Pasca Aidil Adha yang diadakan di sekitar daerah Pengkalan Chepa.

Di Johor, pada 10hb Julai 2021, ABIM Johor bersama Majlis Belia Daerah Johor Bahru dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) telah menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Skudai, Johor Bahru. Sebanyak 38 set bungkusan barangan dapur telah diagihkan kepada para penerima yang terdiri daripada bangsa Melayu dan India. Sesi serahan secara pandu lalu dengan mematuhi SOP bertempat di Kedai Runcit Harmoni, Taman Universiti, Skudai.

Di Negeri Sembilan, pada 10hb Julai 2021, ABIM Negeri Sembilan bersama Supercube Malaysia di bawah kumpulan Puan Shazlinda Sajani menyediakan 5 buah set keperluan pampers dan susu kanak-kanak berumur 1-6 tahun.

Pada 13hb Julai 2021, ABIM Negeri Sembilan bersama Pengerusi MPKK Pelegong membuat agihan untuk 10 orang penerima. 5 ketua keluarga menerima bakul makanan bernilai RM100 satu keluarga manakala 5 lagi menerima set pampers dan susu formula juga bernilai RM100 setiap keluarga di Kampung Pelegong.

Pada 10 dan 11hb Julai 2021 (Sabtu dan Ahad), GPM dan ABIM Negeri Sembilan membuat agihan untuk 23 buah keluarga di Rembau; 36 keluarga di Tampin; 13 buah keluarga di Port Dickson.

Pada 13hb Julai 2021, ABIM Negeri Sembilan menyerahkan set nasi ayam kepada 20 buah keluarga di sekitar Rembau.

Pada 14hb Julai 2021, 60 set nasi ayam diedarkan kepada asnaf sekitar Rembau dan Linggi. Pada 17hb Julai 2021, ABIM Tampin dan Majlis Daerah Tampin dengan kerjasama ABIM Pusat dan GPM mengagihkan barangan keperluan asas di sekitar Tampin.

Pada 19hb Julai 2021, ABIM Negeri Sembilan menyampaikan agihan kek sempena Hari Raya Aidil Adha kepada para guru TASKI ABIM Negeri Sembilan.

Pada 20hb Julai 2021, agihan pek makanan dan barangan bayi daripada ABIM Negeri Sembilan, Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) dan GPM dibuat untuk para asnaf di Mukim Pilin.

Pada 24hb Julai 2021, GPM dan ABIM Negeri Sembilan mengagihkan daging buat para guru TASKI ABIM Negeri Sembilan dan para asnaf sekitar Rembau.

Pada 26hb Julai 2021, ABIM Negeri Sembilan menyampaikan kek dan bantuan hasil sumbangan Sdra. Mohd Shafiq Afandi (penaja Beg L’amour); dan Puan Noor Rizwana (penaja barangan dapur).

Di Sarawak, pada 2hb Julai 2021 (Jumaat) ABIM Sarawak bersama GPM menyampaikan bantuan beras dan keperluan asas kepada para asnaf 25 buah keluarga di sekitar Sibu dan Lundu.

Lokasi pengedaran bantuan keperluan asas dan beras adalah: Taman Dahlia; Flat 2 tingkat; Flat 4 tingkat; Kampung Temenggong; Taman Malihah; Rumah Kedai atas Bank Rakyat; Kampung Paroh; Taman Matang Ria; dan Taman Matang Baru.

Pada 9hb Julai 2021 (Jumaat), ABIM Sarawak dengan kerjasama PERKEPIS Sarawak dan Kuching Food Aids telah menyalurkan bantuan kepada 50 pemohon buah keluarga di beberapa lokasi berikut: Flat Matang; Banjaran Serapi; Astana; Kampung Sungai Bedil Besar; Flat Sri Wangi; Kampung Pulo Ulu; Siol Kandis; Bandar Baru Semariang; Rampangi; Bintawa Ulu; Taman Sukma; Cenderawasih; dan Semerah Padi.

Pada 10hb Julai 2021 (Sabtu), para sukarelawan ABIM Sarawak menyampaikan bantuan kepada 11 buah keluarga penghuni rumah sewa di Kampung Sungai Periok, Pending yang memerlukan keperluan asas dan beras. Info ini dimaklumkan oleh Puan Norhidayat Abdullah, Ketua Kaum.

Pada 11hb Julai 2021 (Ahad), Bantuan Lockdown telah berjaya disalurkan oleh ABIM Sarawak kepada warga Miri. Antara lokasi pengagihan adalah: Taman Desa Senadin, Miri; Desa Indah Bandar Baru Permyjaya; Kuala Baram; Kampung Cina, Lutong; dan Jalan.

Pada 17hb Julai 2021 (Sabtu), ABIM Sarawak dan PERKEPIS Sarawak menyalurkan bantuan kepada 36 buah keluarga di Kampung Sungai Periok, Pending. Pada 17 Julai 2021 (Sabtu) juga, bantuan keperluan asas dan beras disalurkan kepada penduduk di Kampung Tanjung Bako (19 keluarga) dan Kampung Semilang (7 keluarga).

Pada 19hb Julai 2021, agihan bantuan Kuching Food Aids dan Kumpulan Digital Borneo Clan-Clubhouse (Borneo Clan) dibuat dengan kerjasama ABIM Sarawak di Sri Aman. Sebanyak 213 bakul makanan diagihkan kepada penduduk kampung di sekitar kawasan Sri Aman. Mereka terdiri daripada golongan asnaf dan terjejas pendapatan yang telah tersenarai hasil kerjasama ketua kampung disini. Sumbangan juga disampaikan kepada 17 buah keluarga di Rumah Manggat, Menjang Taih, Batang Ai.

Pada 31hb Julai 2021 (Sabtu), ABIM Sarawak menyampaikan sumbangan susu kanak-kanak dan keperluan asas di sekitar Kuching.

Di Sabah, pada 10hb Julai 2021, Misi Bantuan Makanan Asas Covid-19 (BMAC-19 Siri 3) digerakkan di Ranau anjuran PKPIM Sabah, Gabungan Pelajar Islam (GPI), ABIM Ranau, KAMPAR dan Yayasan Maghfirah. Sebanyak 20 buah keluarga telah menerima bantuan di Kampung Tanah Merah; Kampung Bongkud; Kampung Narawang; Kampung Langsat; dan Kampung Kirokot.

Di Beluran, pada 10hb Julai 2021, seramai 50 buah keluarga menerima bantuan makanan asas melalui kolaborasi Projek Dapur Belia 4.0 dan BMAC 3.0 anjuran bersama ABIM Sabah dan Majlis Belia Sabah di beberapa kampung sekitar daerah Beluran. Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Cahaya Baharu Dalam (14 keluarga), Kampung Muanad 1 (15 keluarga), Kampung Bakau (16 keluarga) dan Kampung Muanad 3 (5 keluarga). Sasaran penerima adalah dari kalangan keluarga miskin, OKU dan hilang pendapatan.  

Di Ranau, pada 11hb Julai 2021, seramai 36 buah keluarga menerima bantuan makanan asas melalui kolaborasi Projek Dapur Belia 4.0 x BMAC 3.0 anjuran bersama ABIM Sabah dan Majlis Belia Sabah di beberapa kampung sekitar daerah Ranau. Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Kaparingan (10 keluarga), Kampung Lagkau Kundasang (11 keluarga), Kampung Kundasang Lama (10 keluarga) dan Kampung Kipungit (5 keluarga). Sasaran penerima adalah dari kalangan keluarga miskin dan hilang pendapatan.

Pada 12hb Julai 2021, sebanyak 20 set bantuan Dapur Belia 4.0 x Kit Happy PdPR Siri 1 telah diagihkan ABIM Sabah, ABIM Ranau dan Majlis Belia Sabah kepada 20 orang pelajar sekolah rendah dan menengah di Kampung Matan (3 pelajar), Kampung Kundasang Lama (4 pelajar), Kampung Semuruh (8 pelajar), Kampung Kinasaraban (1 pelajar), Kampung Lembah permai (2 pelajar), Kampung Sinisian (1 pelajar) dan Kampung Dumpiring Atas (1 pelajar) sekitar daerah Ranau.

Di Kota Kinabalu, pada 16hb Julai 2021, ABIM Sabah dan ABIM Pusat dengan kerjasama Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) telah menyerahkan bantuan makanan asas dan wang tunai kepada 16 orang guru yang mengajar di beberapa tadika swasta sekitar Kota Kinabalu melalui projek KSSB.

Di Nabawan, pada 17hb Julai 2021, ABIM Sabah dengan kerjasama ABIM Pusat dan AIBIM telah menyerahkan bantuan makanan asas dan wang tunai kepada 84 buah keluarga (kebanyakannya fakir miskin dan muallaf) di Kampung Ria, Nabawan melalui projek KSSB.

Pada 31hb Julai 2021 seramai 30 buah keluarga menerima bantuan makanan asas yang digerakkan bersama antara ABIM Sabah, Malaysia for Syria (MFS Care) dan GPM di beberapa kawasan sekitar daerah Likas (19 keluarga), Sepanggar (7 keluarga) dan Menggatal (4 keluarga).

Pada 31hb Julai 2021, di Kampung Walao dan Kampung Penulangon, Ranau, ABIM Ranau bersama Hunger Hurt dan Team Kilimu Garage Ranau (KGR) telah mengagihkan 50 set Bakul Makanan Asas kepada penduduk di sana.

Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah untuk sampai ke destinasi dari Pekan Ranau. Jalan yang sungguh mencabar walaupun dalam proses pembinaan.

Jangan sampai ada yang tidur dalam kelaparan. Jangan sampai ada yang telah berputus harap. Rakyat terus setia menjaga rakyat. Ini tekad kita. Ayuh bersama gerakkan usaha dan keprihatinan kepada masyarakat sekeliling menerusi Program KSSB.

Terima kasih kepada semua sukarelawan serta penderma yang budiman. Kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala kita bergantung, sesama masyarakat dan rakyat kita tolong-menolong.

“Memberi bukan tunggu ‘ada’; beramal bukan tunggu ‘kaya’. Menyumbang bukan kerana berada, tapi kerana faham rasanya tiada.”

Salurkan sumbangan seikhlas hati anda di sini: Bank Islam: 14-023-01-003-055-2 (Rujukan: #kssbABIM2021) dan/atau klik: https://www.billplz.com/kssb-abim

Salam keprihatinan & kasih sayang dari meja petugas lapangan ABIM dan Agensi.

#ABIMdiHatiku #YaAllahSelamatkanMalaysia #BangsaMalaysia #BangkitBersama