Kenaikan Kadar Premium Insurans : ABIM Tuntut Penjelasan Bank Negara Malaysia (BNM) - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Kenaikan Kadar Premium Insurans : ABIM Tuntut Penjelasan Bank Negara Malaysia (BNM)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menerima banyak aduan dari masyarakat awam berhubung dengan kenaikan premium insurans kenderaan yang didakwa akan dilaksanakan mulai 15 Februari 2014. Penjelasan ini berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysian Takaful Association , ( “New Motor Cover Framework-Gradual Premium Adjustment” , bertarikh 29 Januari 2014).

ABIM berpandangan penjelasan rasmi daripada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) adalah perlu memandangkan kenaikan ini telah mencetuskan tanda tanya yang meluas dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula pada ketika ini, masih belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan secara langsung dari pihak Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung dengan kenaikan tersebut. 

Tambahan pula kenaikan ini didakwa berasaskan kepada “ Rangka Kerja Baru Perlindungan Motor (Rangka Kerja)” yang dilaksanakan oleh BNM sendiri.  

Dalam keadaan rakyat sedang berhempas pulas melalui kenaikan kos sara hidup yang melampau, makluman rasmi oleh BNM mahupun pihak berwajib amat diharapkan. 

Penjelasan harus merangkumi persoalan adakah kenaikan tersebut merupakan “kenaikan” rasmi yang telah dipersetujui oleh BNM? Ataupun ia sekadar strategi pihak perniagaan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda (dengan menjadikan Rangka Kerja BNM sebagai rujukan justifikasi). 

b/p Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

MUHAMMAD FAISAL ABD AZIZ
Setiausaha Agung