Kenyataan Kassim Ahmad Sombong & Angkuh: ABIM Sedia Berdebat - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Kenyataan Kassim Ahmad Sombong & Angkuh: ABIM Sedia Berdebat

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada cabaran debat yang dikemukakan oleh pemikir kontroversi Kassim Ahmad kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan yang dilontarkannya termasuk yang terbaru menerusi “Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian” di Putrajaya. Sebagaimana yang dilaporkan media, Kassim Ahmad masih mengulangi malah konsisten dengan kenyataan-kenyataan yang secara terang-terangan bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

 

ABIM telah mengadakan muzakarah atau dialog bersama Kassim Ahmad pernah dianjurkan oleh ABIM di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya pada 28 Jun 1986. Menerusi dialog tersebut, anggota panel ABIM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ABIM (pada ketika itu) Dr Abdul Halim El-Muhammady telah menjawab satu persatu dakwaan kontroversi yang dilontarkan oleh beliau yang secara jelas bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Sepanjang dialog tersebut, beliau (Kassim Ahmad) gagal menjawab serta mengemukakan hujah di atas setiap persoalan yang dikemukakan.

Sikap angkuh sebegitu telah mencerminkan kerendahan nilai diri sendiri memandangkan tiada perkara yang memalukan nilai intelektual seseorang yang dijulang tinggi dalam masyarakat, apabila seorang sarjana itu tidak meraikan pandangan pihak lain dalam siri dialog. Justeru, perdebatan dengan individu sebegini sememangnya tidak akan memberi apa-apa makna atau mencapai sebarang tujuan yang positif dalam mencari kebenaran.

Dalam pada itu, ABIM juga telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “Islam dan Al-Hadith : Dialog Bersama Kassim Ahmad – Satu Analisis ke atas usaha-usaha merosakkan peribadi dan autoriti Rasulullah S.A.W.” cetakan 1991 dan 1995. Buku tersebut telah membentangkan hujah dari segi metadologi, sumber autoriti, dan sejarah pengumpulan Hadis serta beberapa sudut lain bagi menolak buku beliau “Hadis: Satu Penilaian Semula”. Selain itu, bahagian dalam buku tersebut juga mengandungi catatan-catatan dari dialog yang dianjurkan pada tahun 1986.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM berpandangan sudah tiba masanya pihak kerajaan khususnya Jabatan Agama memainkan peranan untuk mengambil tindakan sepertimana yang dilakukan ke atas ajaran sesat lain dalam negara kerana pemikiran beliau secara jelas berlawanan dengan prinsip ajaran Islam.

Dalam hal ini, ABIM bersedia untuk menyahut cabaran debat yang dikemukakan Kassim dengan keadaan beliau bersedia mengubah serta berhenti mengeluarkan pandangan tidak berasas mengenai Rasullulah S.A.W , ulama’, dan tradisi keilmuan Islam.

Selagi perkara ini tidak disiasat oleh pihak berkuasa agama, pandangan yang diutarakan termasuk menyatakan rambut itu bukan aurat serta mempertikai syahadah kenabian telah memperlihat seolah-olah mendapat “endorsement” dari pihak kerajaan. Jika terbukti dan diputuskan idea dan pemikiran kasim ahmad bercanggah dengan Islam maka beliau perlu berhenti menyebarkan pandangan beliau dan bertaubat.

ABIM tidak menolak kepentingan untuk membugar budaya ilmu menerusi siri wacana dan forum namun ia harus dilaksanakan dengan tujuan demi menambahkan lagi kefahaman masyarakat tentang Islam dan bukan untuk menyuburkan salah faham semata-mata untuk mencari publisiti.

Penulisan dan pandangan sebegini tanpa diringi dengan nota yang jelas akan menyebabkan pembaca awam yang baru ingin mempelajari Islam terbabas dari ajaran Islam sebenar.

 

Hasri Harun, 
Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)