3 Mei 2026 | 15 Zulkaedah 1447H

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil perhatian serius terhadap perkembangan mutakhir berhubung cadangan pemotongan sehingga RM3.06 bilion daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seiring dengan pelbagai pandangan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak, ABIM berpandangan bahawa pemotongan dalam sektor kesihatan wajar dielakkan kerana ia merupakan sektor kritikal yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Sebarang pengurangan, walaupun dilabel sebagai bukan kritikal, berpotensi menjejaskan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan kesihatan secara keseluruhan.

Dalam keadaan sistem kesihatan awam yang sedia tertekan dengan isu fasiliti sesak, peningkatan penyakit tidak berjangkit serta kekurangan tenaga kerja, langkah ini berisiko memburukkan lagi keadaan. Kebajikan petugas kesihatan kini turut berada pada tahap membimbangkan, dengan isu keletihan, beban kerja serta penghijrahan tenaga mahir yang semakin ketara. Pemotongan peruntukan dalam situasi ini hanya akan menambahkan tekanan dan melemahkan lagi sistem yang sudah pun rapuh.
ABIM menegaskan bahawa sekiranya penjimatan fiskal perlu dilaksanakan, kerajaan wajar menilai semula perbelanjaan dalam sektor lain yang kurang kritikal, tanpa mengorbankan sektor asas seperti kesihatan. Pada masa yang sama, ketelusan juga amat penting untuk kerajaan menjelaskan secara terperinci skop pemotongan, garis masa pelaksanaan serta langkah mitigasi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.
Dalam jangka sederhana dan panjang, ABIM berpandangan bahawa kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan reformasi sistem kesihatan seperti yang digariskan dalam Health White Paper, termasuk memperkukuh kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi mengoptimumkan kapasiti dan mengurangkan tekanan terhadap sistem awam. Tanpa langkah reformasi yang jelas dan berani, sistem kesihatan negara akan terus terdedah kepada krisis berulang.
Sehubungan itu, ABIM menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tampil dengan pelan intervensi yang lebih agresif dan proaktif dalam mendepani cabaran semasa. Kesihatan awam tidak boleh dijadikan sasaran mudah untuk penjimatan fiskal. Ia adalah pelaburan strategik negara, dan kegagalan melindunginya akan membawa implikasi yang jauh lebih besar kepada rakyat dan negara.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
