Ketengahkan High Touch Mengatasi High Tech: YDP ABIM Selangor

May 20, 2012
admin

20 Mei 2012 – Yang Di Pertua ABIM Negeri Selangor, Cikgu Khairuddin Abbas menekankan betapa Generasi-Y seharusnya disantuni dan dididik dengan seberapa banyak nilai dan adab. Menurut beliau ketika merasmikan Ijtimak Harakiy WADAH-ABIM-PEPIAS Daerah Kuala Langat, generasi muda masa kini, tidak lagi sama dengan generasi terdahulu. Maka, pendekatan yang digunakan perlulah lebih baik dan progresif.

“Hal ini demikian, bagi mengelakkan generasi ‘high-tech’ ini kekurangan ‘high-touch’, iaitu sentuhan sayang kasih dan perhatian daripada ahli keluarga. Maka, pendidikan dan asuhan Islami adalah kaedah terbaik, memandangkan Islam sebagai agama yang syumul; menganjurkan agar anak-anak disantuni dengan nilai pendidikan yang bermanfaat dan berkesan” jelas Cikgu Khairuddin Abbas lagi yang juga merupakan mantan Yang Di Pertua ABIM Daerah Kuala Langat.

Selanjutnya, beliau merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru-guru Taski ABIM Kuala Langat yang telah banyak menyumbang jasa dan pengorbanan demi mendidik anak murid mereka.

Ia kemudian disusuli dengan ucapan YDP ABIM Kuala Langat, Cikgu Radin Mohd Imaduddin. Beliau menyentuh beberapa isi penting di dalam ucapan dasarnya. Antaranya ialah berkenaan pemberdayaan lima komponen utama dalam pendidikan iaitu Sosial; Insaniah; Kognitif; Afektif dan Psikomotor.

Ringkasnya; SIKAP. Hal ini, ujar beliau, adalah asasi bagi memastikan kemenjadian seseorang anak didik. Seterusnya, beliau juga menekankan peri-pentingnya generasi belia memperkasakan diri mereka dengan kesiapsiagaan ilmu dan kemahiran. Hal ini penting untuk membentuk jatidiri dan sakhsiah jiwa yang unggul.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo