ABIM Buat Laporan Polis Gesa Siasat Pembelian Tanah 1 MDB Oleh Tabung Haji - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM Buat Laporan Polis Gesa Siasat Pembelian Tanah 1 MDB Oleh Tabung Haji

7 Mei 2015:- ABIM telah membuat laporan polis berhubung dakwaan pembelian tanah 1Malaysia Developement Bhd (1MDD) oleh Tabung Haji. Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz (bawah) berkata jika benar keadaan sekarang amat membimbangkan kerana ia melibatkan transaksi “meragukan” serta boleh merugikan pendeposit.

Malah, dakwanya, ia didakwa dibuat ketika syarikat pelaburan kontroversi negara itu masih dalam siasatan jabatan audit negara. “Justeru, saya sebagai individu pendeposit akaun Tabung Haji sejak sekian lama serta sebagai Setiausaha Agung ABIM, salah satu NGO Islam yang bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan masyarakat Islam di Malaysia, memohon pihak polis dan mana-mana pihak bertanggungjawab membuat siasatan segera dan mengambil tanggungjawab bagi laporan tersebut,” katanya.

Ia merujuk kepada tulisan sebuah blog Thebenchmark0 bertarikh 5 Mei yang mendakwa Tabung Haji membeli dua bidang tanah projek Tun Razak Exchange (TRX). Blog tersebut mendakwa, ia dibeli dengan harga RM194 juta (RM2,860 sekaki persegi) RM578 juta (RM3,900 sekaki persegi) sedangkan 1MDB didakwa mendapatkannya hanya dengan kos RM90 sekaki persegi. Berikut adalah petikan laporan penuh sepertimana yang dikemukakan pihak ABIM:-

 

Tindakan saya membuat laporan polis berdasarkan maklumat dari satu blog “The BENCHMARK” yang dikongsikan di laman facebook berhubung cadangan pihak Lembaga Tabung Haji untuk membeli asset yang dimiliki 1 Malaysia Development Berhad (1 MDB) iaitu Plot B.10.15-RT dan Plot C.7.7-CT di Tun Razak Exchange (TRX) menerusi satu perjanjian jual beli antara pihak Lembaga Tabung Haji dengan KLIFD Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat milik penuh 1MDB Real Estate Sdn Bhd.

Menurut blog tersebut transaksi bagi Plot B.10.15-RT tersebut dibuat dengan cara “fast-track” menerusi kelulusan seorang Menteri bertanggungjawab yang mengambil masa hanya dua minggu. jumlah keseluruhan bagi Plot B.10.15-RT tersebut yang kena dibayar oleh Lembaga Tabung Haji iaitu sebanyak RM194 Juta atau RM2,860 per sq. ft telah pun dibayar kepada 1MDB.

Transaksi bagi plot Plot C.7.7-CT pula, dinyatakan bahawa pihak Lembaga Tabung Haji telah bersetuju untuk membayar secara tunai kepada 1MDB dengan harga RM578 Juta iaitu RM3,900 per sq. ft.

Menurut blog tersebut 1MDB telah membeli kedua-dua plot tersebut dari Kerajaan Malaysia dengan harga yang terlalu murah iaitu Plot B.10.15-RT sebanyak RM4 Juta dan Plot C.7.7-CT sebanyak RM8.9 Juta.

Pada 4 Mac 2015, Perdana Menteri dalam satu kenyataan dalam Berita Harian menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk bertindak secara bebas bagi mengesahkan akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) susulan dari beberapa dakwaan penyalahgunaan wang rakyat yang berlaku.

Sekiranya dakwaan ini benar, maka situasi ini akan membimbangkan seluruh pendeposit wang ke dalam akaun Tabung Haji kerana pihak Lembaga Tabung Tabung Haji telah memasuki satu transaksi yang meragukan serta merugikan wang pendeposit dengan terpaksa membayar puluhan ganda kepada 1MDB sedangkan akaun 1MDB ini sendiri masih dalam siasatan Ketua Audit Negara.

Justeru, saya sebagai individu pendeposit akaun Tabung Haji sejak sekian lama serta sebagai Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) iaitu salah satu NGO Islam yang bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan masyarakat Islam di Malaysia memohon pihak polis dan mana-mana pihak bertanggungjawab membuat siasatan segera dan mengambil tanggubgjawab bagi laporan tersebut.

MUHAMMAD FAISAL BIN ABDUL AZIZ
SETIAUSAHA AGUNG ABIM
Abim Pusat