
Oleh: Allahyarham Ustaz Fadzil Noor
Minal Aidin Wal Faizin ( مِنَ العَائِدِينَ والفَائِزِينَ ) ucapan ini menggambarkan bahawa kita kembali dari suatu perjuangan membebaskan diri dan jiwa kita dari penguasaan nafsu yang merosakkan.
Kita kembali kepada kesucian fitrah kita yang asli (sempena Aidilfitri) dengan memperoleh kemenangan kemenangan yang benar dalam hidup seorang Muslim iaitu mencapai keampunan Tuhan dan memperoleh keredhaan-Nya. Insya’Allah.
Keampunan Tuhan yang seharusnya menjadi harapan umat yang telah menunaikan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan kejujuran kepada Allah Yang Maha Esa.

Kita kembali dari perjuangan menentang tuntutan nafsu yang mengikat kita dengan kehidupan yang materialistik kelada menghadapi perjuangan dalam masyarakat yang telah dan sedang dipengaruhi oleh kehidupan yang materialistik pula.
Kita kembali dari perjuangan membina kehidupan rohaniah yang luhur untuk terus kekal dengan keluhuran itu dalam perjuangan di tengah-tengah masyarakat yang sedang dikongkong oleh nilai-nilai hidup yang merosakkan. Kita kembali daripada suatu perjuangan yang membawa kesabaran dan ketabahan yang lain pula.

Kejernihan yang diperolehi dari ibadah puasa itu akan dapat menambahkan kejernihan fikiran kita dalam melihat dan menilai masalah-masalah yang timbul dalam masyarakat, kemudian mengatur garis perjuangan yang lebih berkesan bagi menyuarakan penyelesaian terhadap masalah-masalah itu.
Kita mengucap syukur ke hadrat tuhan, kerana dengan petunjuk-Nya maka kita dapat melihat dan menilai masalah yang timbul selama ini serta memberikan jawapan sesuai dengan pandangan dan nilai diajarkan oleh Islam.

Petikan Perutusan Aidilfitri Ustaz Fadzil Noor (Allahyarhamhu), disiar dalam Risalah ABIM Edisi Ke-6, Terbitan 1975. Allahyarham Ustaz Fadzil Noor adalah pemangku presiden ABIM pada tahun 1975.
