Memahami Konsep Sumpah Dalam Islam

February 21, 2015
editor-media

Konsep sumpah di dalam Islam merupakan salah satu cabang ilmu yang perlu difahami secara mendalam oleh pengamal undang-undang manakala kesedaran dan kefahaman asas pada konsep ini perlu diserap dan diperjelaskan kepada masyarakat. Akibat dari ketidak atau kurang fahaman atau buat-buat tak faham pada konsep sumpah ini membuatkan ketidakselesaan dan persengketaan di dalam masyarakat. Desakan pihak tertentu untuk bersumpah dalam pelbagai aspek menunjukkan krisis intelektual dan kedangkalan tahap kefahaman Islam. Kini sumpah juga diheret dalam kancah bolasepak negara. Begitu jelas ketidakfahaman dan tahap kesedaran masyarakat mengenai konsep sumpah ini.

Sumpah yang boleh diterima pakai untuk sabitan kes adalah sumpah yang dibuat di mahkamah dan menurut syarat-syarat yang ditetapkan. Sumpah sebagai kaedah pembuktian hanya terpakai di dalam kes mal dan ianya tidak boleh diterima di dalam kes jenayah seperti kes liwat, zina, qazaf dan sebagainya. Sumpah di luar mahkamah bukanlah sesuatu perkara yang digalakkan di dalam Islam. Sumpah mubahalah misalnya, bukanlah boleh dilaksanakan sesuka hati sesedap rasa. Ianya hanya boleh dilakukan sekiranya pelbagai cara lain telah dilaksanakan dan tiada kaedah lain lagi yang boleh menyelesaikan perselisihan.

 

Dalam aspek kaedah bersumpah pula, amalan bersumpah menjunjung atau mencium atau mengusap atau mengangkat al-Quran bukanlah tuntutan ajaran Islam. Sumpah cukup dengan menyebut nama Allah S.W.T atau sifat-sifatNya. Penjelasan ringkas mengenai konsep sumpah di atas diharapkan dapat merungkai dan memberi kefahaman yang sewajarnya terhadap ruanglingkup dan aplikasi sumpah menurut hukum syarak. Masyarakat umum atau pihak tertentu janganlah terlalu teruja dan terkinja untuk mendesak individu untuk bersumpah sebagai kaedah menyelesaikan pertikaian dan perselisihan.

Sumpah yang menyandarkan kepada nama Allah Subhanahuwataala atau sifat-sifatNya tidak boleh dipermain-mainkan dalam bentuk apa sekalipun. Amalan mendesak atau memaksa individu bersumpah di dalam masyarakat perlu dihentikan atau kita akan hanya terus mengamalkan perkara yang tidak dituntut oleh syarak malahan boleh mencetuskan kemurkaan Allah Subnahuwataala. Artikel ini disediakan oleh Dr Zulkifli Hasan. Baca artikel penuh menerusi pautan berikut: MEMAHAMI KONSEP “SUMPAH” DALAM ISLAM

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo